Takungan empangan di Kedah mencukupi, tiada keperluan pembenihan awan

Iklan
Paras takungan Empangan Pedu dijangka meningkat kepada 62 peratus pada September. Gambar kecil: Ismail

ALOR SETAR - Takungan di tiga empangan utama di Kedah mencukupi bagi memenuhi keperluan pengairan sawah padi dan bekalan air domestik walaupun cuaca panas masih berterusan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, berdasarkan pemantauan semasa, tiada keperluan untuk melaksanakan pembenihan awan buat masa ini, namun pihaknya sentiasa memantau situasi sekiranya keadaan memerlukan, sebagaimana pernah dilakukan pada tahun lepas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah takungan semasa di tiga buah empangan, iaitu Empangan Pedu, Muda dan Ahning pada Selasa adalah sebanyak 789.06 juta meter padu (639,694 ekar kaki), lebih tinggi berbanding tahun lalu sebanyak 633.42 juta meter padu (513,306 ekar kaki).

“MADA mengendalikan ketiga-tiga empangan berkenaan yang berperanan membekalkan air untuk tanaman padi serta kegunaan domestik di Kedah dan sebahagian selatan Perlis.

Iklan

“Setakat ini, Empangan Pedu merekodkan takungan sebanyak 466,750 ekar kaki (53.34 peratus), Empangan Muda sebanyak 42,300 ekar kaki (33.84 peratus) dan Empangan Ahning sebanyak 130,644 ekar kaki (58.58 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Ismail, pada masa kini air dari empangan dilepaskan pada kadar 3,500 kaki padu sesaat bagi menyokong aktiviti penanaman padi musim 1/2025 di Kawasan Muda serta memenuhi permintaan kegunaan domestik dan industri.

Iklan

“Sehingga 29 Julai, keluasan sawah yang telah ditanam mencecah 99,832 hektar (99.2 peratus), dengan 6,906 hektar (6.9 peratus) telah berbunga dan 21 hektar (0.02 peratus) berada pada peringkat masak,” ujarnya.

Menurutnya lagi, berdasarkan unjuran semasa, paras takungan Empangan Pedu dijangka meningkat kepada 62 peratus atau 542,000 ekar kaki menjelang penghujung September ini.

“Unjuran tersebut turut menunjukkan takungan semasa di Empangan Pedu masih mampu memenuhi bekalan pengairan bagi menjayakan penanaman padi musim ini termasuk permintaan domestik dan industri di Kawasan Muda,” katanya.