MELAKA - McDonald’s Malaysia menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 menerusi pelbagai program menarik termasuk menyertai Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 anjuran Kementerian Komunikasi.
Konvoi motosikal itu akan menjelajah ke 88 lokasi seluruh Malaysia dengan 15 lokasi persinggahan bertempat di restoran McDonald’s yang terpilih, bermula di McDonald’s Pandu-Lalu Kluang, Johor pada 28 Julai lalu dan akan berakhir di McDonald’s Pandu-Lalu Pantai Sentral Park, Kuala Lumpur pada 16 Ogos nanti.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, penyertaan pihaknya dalam program itu merupakan sebahagian komitmen McDonald's Malaysia dalam memainkan peranan lebih besar sebagai jenama tempatan yang membangun bersama rakyat lebih empat dekad.
Menurutnya, jenama itu berhasrat menjadi medium menyebarkan semangat cintakan negara kepada pelbagai lapisan masyarakat menerusi restoran-restorannya di seluruh negara.
“Sepanjang persinggahan konvoi di restoran-restoran McDonald’s, pelbagai aktiviti disediakan termasuk pengagihan bendera Jalur Gemilang secara percuma, pelekat pandu-lalu edisi Merdeka, aiskrim kon Sundae percuma, baucar makanan khas edisi Merdeka, aktiviti interaktif untuk keluarga dan dekorasi restoran bertema Hari Kebangsaan.
“Sebagai jenama yang telah bersama rakyat Malaysia selama 43 tahun, sambutan Hari Kebangsaan adalah detik penting untuk kita meraikan kepelbagaian dan meluahkan rasa cintakan tanah air.
"McDonald’s Malaysia menjadikan restoran kami sebagai platform untuk mengukuhkan semangat perpaduan dan patriotisme rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang di McDonald’s Batu Berendam, Melaka yang merupakan restoran kedua disinggah oleh kumpulan konvoi tersebut.
Program itu turut dihadiri oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Allex Seah Shoo Chin.
Melati berkata, pemilihan restoran McDonald’s Malaysia di setiap negeri sebagai lokasi rasmi persinggahan membuktikan keakraban jenama itu dengan rakyat Malaysia di setiap perjalanan mereka, sama ada ketika bercuti mahupun pulang ke kampung halaman.
Beliau berkata, McDonald’s Malaysia juga menggalakkan orang ramai memeriahkan sambutan Ambang Merdeka di restoran McDonald’s Pandu Lalu Putrajaya Presint 2 bermula 29 hingga 31 Ogos ini dan menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya.
“Bagi merancakkan sambutan berkenaan, kami akan mengedarkan 50,000 baucar makanan percuma dan 2,500 hadiah edisi terhad Mekdi kepada pengunjung,” katanya.
Jelasnya, lebih bermakna, McDonald’s Malaysia turut menyumbangkan hidangan percuma kepada anggota badan beruniform menerusi lebih 370 restoran sebagai tanda penghargaan atas peranan mereka menjaga keamanan dan keselamatan negara sepanjang Julai hingga Ogos depan.
“Selari dengan aspirasi ‘Syarikat Malaysia untuk rakyat Malaysia, demi Malaysia’, McDonald’s terus mengutamakan rakyat dalam setiap usaha.
“Ini termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada 100 peratus tenaga kerja tempatan, tawaran pendidikan dan latihan kepada belia, menyantuni semua lapisan komuniti dan banyak lagi," katanya.
Sementara itu, pada program itu, McDonald’s turut mengadakan Kids Burger Workshop yang disertai kanak kanak tadika.