Anggota JPJ cedera diseret 'ulat' teksi lari pemeriksaan

Iklan
Aedy Fadly

SEPANG - Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera selepas diseret oleh sebuah kereta sewa haram atau ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini pada Ahad lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kejadian berlaku semasa pemantauan oleh sepasukan anggota JPJ Selangor yang mengesan seorang lelaki dipercayai melakukan aktiviti ulat teksi dengan menghampiri beberapa individu di kawasan terminal.

Iklan
Iklan

Katanya, lelaki berkenaan berjaya memujuk dan merayu seorang penumpang untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Penumpang itu diminta menunggu di Pintu 3 sementara lelaki terbabit mengambil kenderaannya jenis Mitsubishi Xpander yang diparkir di Pintu 1.

Iklan

“Pada kira-kira jam 4.50 petang, anggota pemantauan telah mendekati pintu pemandu kenderaan terbabit dan memperkenalkan diri sebagai anggota JPJ.

“Namun, pemandu tersebut bertindak memecut kenderaannya, menyebabkan seorang anggota terseret dan terjatuh ke atas jalan hingga mengalami kecederaan di tangan dan lutut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat oleh anggota terbabit.

Ujarnya, susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan pemandu berusia lingkungan 30-an tersebut dan dia direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.