ALOR SETAR – Ketika wanita lain sibuk mengurus keluarga dan kerjaya, seorang ibu tunggal terpaksa bergelut dengan ujian berat apabila ketumbuhan otak yang dihidapinya telah meragut penglihatan mata kirinya.
Marni Azjuwita Ahmad, 39, mula mengetahui keadaan kesihatannya ketika mengandungkan anak ketiga pada tahun 2020, apabila kerap mengalami sakit kepala luar biasa sehingga menyukarkan urusan harian.
Pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah melalui imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mendedahkan adanya ketumbuhan otak yang menekan saraf mata.
“Saya sangat terkejut dan sedih ketika itu kerana sedang hamil enam bulan. Saya tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan situasi tersebut,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Kangkung Kiri, Simpang Empat, di sini.
Selepas melahirkan anaknya, Marni Azjuwita menjalani pembedahan membuang tumor otak pada tahun 2023 dan menerima 30 sesi rawatan radioterapi di Hospital Pulau Pinang.
Namun, kesan pembedahan memberikan impak besar terhadap kesihatan dan kehidupannya.
Dia kini mengalami pelbagai komplikasi seperti mudah lupa, Bell’s palsy serta masalah pertuturan dan keseimbangan badan.
“Saya masih boleh melakukan kerja rumah tetapi kadangkala pergerakan saya tidak stabil dan mudah jatuh,” katanya yang sebelum ini menyara keluarga dengan mengambil upah menjahit.
Lebih menyedihkan, Marni kini membesarkan tiga anak berusia antara lima hingga 15 tahun secara bersendirian selepas berpisah dengan suaminya tahun lalu.
“Saya reda dengan takdir dan cuba kuat demi anak-anak. Mereka perlukan saya,” luahnya.
Tambahnya lagi, dia kini tinggal bersama ibu bapanya yang turut diuji dengan masalah kesihatan.
Bapanya, Ahmad Rejab, 68, menghidap kanser usus sejak 2022 manakala ibunya, Masriyah Abdullah, 65, pula mengalami tiroid dan fibroid.
“Bapa saya sudah menjalani lapan sesi kemoterapi dan 35 sesi radioterapi. Keadaan kami memang sangat mencabar,” ujarnya.
Dalam usaha meringankan beban, Cancer Survivors Malaysia (CSM) tampil menyampaikan bantuan kewangan serta barangan dapur kepada keluarga Marni.
Pengerusinya, Zuraini Kamal, turut menzahirkan sokongan moral kepada Marni Azjuwita dan keluarganya yang disifatkan sebagai simbol ketabahan dalam menghadapi ujian kesihatan dan kehidupan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 152125275286 atas nama Marni Azjuwita Ahmad.