Kerja struktur atas, saliran Projek Lebuhraya Pintasan Air Itam hampir siap

Iklan
Hon Wai (dua dari kanan) meninjau perkembangan kerja di tapak projek.

GEORGE TOWN – Kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pintasan Air Itam yang menghubungkan Lebuhraya Thean Teik ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu kini menunjukkan perkembangan positif apabila semua tiang struktur utama berjaya didirikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Wong Hon Wai berkata, pasukan projek memaklumkan bahawa mereka kini sedang memberi tumpuan kepada kerja-kerja struktur atas bagi menyempurnakan jajaran lebuh raya baharu itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembinaan sistem saliran yang merentasi Lebuhraya Thean Teik ke Sungai Dondang juga hampir siap sepenuhnya.

“Menurut pasukan projek, sistem saliran tersebut akan menyalurkan air hujan terus ke Sungai Dondang sekali gus berupaya mengurangkan risiko banjir, khususnya di kawasan hadapan Pasar Farlim yang dikenal pasti sebagai lokasi sering dilanda banjir sejak lebih tiga dekad lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Semua tiang struktur utama di Lebuhraya Pintasan Air Itam yang menghubungkan Lebuhraya Thean Teik ke Lebuhraya Tun Lim Chong Eu telah siap didirikan.

Hon Wai yang juga Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang berkata, bagi mengelakkan aliran balik air dari Sungai Dondang ke kawasan perbandaran, sebuah pintu ‘flap’ turut dipasang sebagai langkah kawalan banjir tambahan.

Iklan

“Orang ramai dinasihatkan agar terus bersabar dan memberi kerjasama sepanjang tempoh pembinaan demi kelancaran projek yang dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat apabila siap kelak,” ujarnya.

Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam merupakan salah satu projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) serta Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah bermula sejak tahun 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6.

Apabila siap kelak, jalan raya bebas tol sepanjang 5.7 kilometer ini akan menghubungkan Bandar Baru Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, dan dijangka memendekkan waktu perjalanan daripada 40 minit kepada sekitar 5 minit.

Projek ini dilaksanakan oleh Consortium Zenith Construction (CZC) dan dikendalikan oleh Penang Infrastructure Corporation (PIC). Ia merangkumi pembinaan tiga persimpangan bertingkat, iaitu di Lebuhraya Thean Teik, Jalan Bukit Gambir–Jalan Sultan Azlan Shah, serta Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, yang melibatkan susur masuk-keluar kiri dan pusingan U bertingkat.