[VIDEO] Malaysia sedia hantar pasukan pemantau di sempadan Thailand-Kemboja - PM

Iklan

KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia menghantar pasukan pemantau ke sempadan Thailand-Kemboja sekiranya diminta oleh kedua-dua negara terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam rundingan bersama ketua-ketua negara ASEAN, semua pihak bersetuju untuk berbuat demikian sekiranya dimohon oleh Thailand dan Kemboja.

Iklan
Iklan

"Mengenai (konflik) Kemboja-Thailand, pada hari saya mencapai kesepakatan bersama Perdana Menteri Thailand dan Kemboja, malam itu Panglima Angkatan Tentera telah pun berlepas ke sempadan untuk berunding bagi memastikan kaedah pemantauan dilaksanakan dengan baik.

"Sekarang ini keadaan di sempadan kedua-dua negara terkawal, satelit digunakan untuk memantau situasi. Wakil pasukan pertahanan Thailand turut hadir dan pemantauan diselaraskan oleh Malaysia sebagai tanda kesediaan kita," katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta kerajaan beri penekanan sama ada mahu menghantar pasukan di sempadan Thailand-Kemboja.

Anwar pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15, Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama

Iklan

Thailand dan Kemboja sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata berkuat kuasa tengah malam 28 Julai lalu menerusi satu mesyuarat khas yang dianjurkan di Malaysia, susulan ketegangan yang semakin memuncak di sempadan kedua-dua negara Asia Tenggara itu.

Sempadan sepanjang 817 kilometer yang masih belum ditanda secara rasmi telah lama menjadi isu sensitif dan beberapa kali mencetuskan ketegangan serta menjejaskan hubungan diplomatik.

Ketegangan memuncak pada 28 Mei lalu apabila berlaku pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear sehingga mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, keputusan sama ada kehadiran tentera Malaysia diperlukan untuk memantau sempadan itu akan ditentukan selepas berakhirnya Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dan Kemboja yang sedang berlangsung ketika ini.

"Kita telah memutuskan untuk menyerahkan sepenuhnya hala tuju berikutnya kepada mesyuarat GBC yang akan berakhir dengan kehadiran kedua-dua Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja pada Khamis.

"Mereka akan menemui saya dan meneruskan mesyuarat, yang diharap dapat dimuktamadkan pada 7 Ogos. Sama ada perlu atau tidak kehadiran tentera Malaysia di sempadan, akan diputuskan kemudian," jelasnya.

Menurut Perdana Menteri, walaupun keadaan kini dilaporkan terkawal, namun situasi di sempadan itu masih sensitif dan tegang.

"Apabila berlaku pembunuhan dan penembakan, ia mengambil masa untuk meredakan suhu kemarahan. Setakat ini, kita gunakan satelit dan wakil pertahanan kita hanya memantau dari jauh," ujarnya.