SHAH ALAM - Siapa sangka, video tanpa suara yang dihasilkan seorang wanita kelahiran Perak mampu menarik perhatian jutaan penonton bukan sahaja di Malaysia, bahkan sehingga ke negara jiran.
Itulah keistimewaan Salmah Melor atau nama sebenarnya Nabila Afini Mad Izhar, 31 yang aktif sebagai pencipta kandungan di platform TikTok sejak awal 2023.
Menurutnya, niat asal hanyalah untuk mempromosikan perniagaan kecil-kecilan menjual barangan fesyen bersaiz besar.
"Bagimana pun saya beralih arah kepada penghasilan kandungan kreatif apabila sambutan terhadap jualan kurang memberangsangkan.
“Saya mula serius menghasilkan kandungan media sosial kerana mahu tarik perhatian ramai tentang bisnes saya. Lama-kelamaan, saya sendiri tidak sangka boleh kekal sampai sekarang," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Salmah yang bekerja sebagai penulis kandungan di bawah Arkib Angker Negara, sebuah platform penulisan dan penerbitan novel bergenre seram, mistik serta bacaan umum berkata 70 peratus ideanya adalah asli manakala selebihnya diolah semula daripada meme.
“Asalnya saya ini 'kaki meme' atau lawak bergambar di Facebook. Saya terfikir, kenapa semua meme ini tak dijadikan video? Kalau ada pun, pencipta kandungan di Malaysia jarang-jarang lakukannya,” katanya.
Menurutnya, kesemua videonya tidak menggunakan suara kerana mengalami masalah percakapan ketika berdepan dengan kamera dan mudah panik hingga lupa apa yang hendak disampaikan.
“Saya harap ia boleh beri inspirasi kepada sesiapa yang ingin menjadi pencipta kandungan tetapi mempunyai masalah dalam segi komunikasi,” ujarnya.
Salmah bersyukur apabila kandungannya diterima baik dan sering tular termasuk di Indonesia walaupun pernah bimbang ia tidak difahami atau menerima kecaman.
“Bila saya tukar ke TikTok, saya agak terkejut dengan keterbukaan netizen di platform berkenaan yang lebih positif,” katanya.
Bagaimanapun, dia tidak terlepas daripada komen berunsur penghinaan fizikal, walaupun isi kandungan tidak berkaitan dengan penampilannya.
“Kebanyakan semua saya tapis dulu, tidak akan beri peluang hal negatif masuk ke ruang komen. Saya akan terus buang dan sekat sahaja,” katanya tegas.
Sebagai anak bongsu daripada empat beradik, Salmah tidak meletakkan harapan tinggi untuk dikenali sebaliknya mahu terus berkarya dengan cara beretika dan menasihatkan pencipta kandungan baharu supaya menjaga imej serta elak mengundang kontroversi.