Tunggangan bahaya, melulu punca nahas lima kenderaan

Iklan
Tangkap layar kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 9.6 Lebuhraya Guthrie hala selatan pada Sabtu.

SUNGAI BULOH – Aksi menunggang secara berbahaya dan melulu dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 9.6 Lebuhraya Guthrie hala selatan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, semakan mendapati video kejadian itu telah tular di media sosial.

Iklan
Iklan

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Elmina menghala ke Meru, Klang memperlahankan kenderaan bagi mengelak dua buah motosikal yang telah terbabas di lorong tengah.

“Ketika itu, sebuah lagi kereta dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta berkenaan sebelum sebuah kereta ketiga turut merempuh belakang kereta kedua,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, ketiga-tiga kereta berkenaan hanya mengalami kerosakan tanpa sebarang kecederaan kepada pemandu mahupun penumpang.

“Bagaimanapun, identiti penunggang dua motosikal yang terbabit dalam kemalangan awal masih belum dikenal pasti dan kini sedang dikesan polis.

Iklan

“Kita tidak menolak kemungkinan kemalangan ini berpunca daripada cara pemanduan serta tunggangan yang tidak berhemah,” katanya.

Menurutnya, orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti lumba haram atau samseng jalanan yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Jalan raya bukan tempat untuk berlumba. Aktiviti ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafa’e di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di 03-6156 1222.

Terdahulu, tular di media sosial satu video memaparkan kemalangan melibatkan beberapa buah kenderaan di lebuh raya tersebut.

Video terbabit turut memaparkan beberapa individu menunggang secara melulu sebelum berlaku kemalangan di lokasi berkenaan.