76 maut bot migran karam di perairan Yemen

Iklan
Anggota Palang Merah membantu migran dari beberapa negara Afrika dan Asia Barat selepas bot kedua hari itu tiba di Pelabuhan La Restinga, El Hierro, Kepulauan Canary. Foto AFP

DUBAI - Sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh dan puluhan lagi dilaporkan hilang selepas sebuah bot membawa majoriti migran dari Ethiopia karam di luar pesisir selatan Yemen, menurut pegawai pada Isnin.

Insiden berlaku di perairan Abyan, wilayah yang sering menjadi destinasi bot penyeludupan migran Afrika yang berhasrat menuju ke negara Teluk kaya seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Iklan
Iklan

Menurut pegawai keselamatan Yemen, 76 mayat telah ditemui manakala 32 orang berjaya diselamatkan daripada tragedi di Teluk Aden itu. Agensi Migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IOM) menganggarkan seramai 157 orang berada di atas bot tersebut.

Beberapa mangsa yang terselamat telah dipindahkan ke Aden. Nasib puluhan lagi mangsa masih belum diketahui.

Iklan

Yemen kekal sebagai laluan transit utama bagi migran meskipun dilanda perang saudara sejak 2014. Setiap tahun, ribuan individu sanggup merentasi ‘Laluan Timur’ dari Djibouti ke Yemen merentas Laut Merah dengan harapan ke negara-negara Teluk.

Menurut IOM, sekurang-kurangnya 558 kematian dicatatkan di laluan Laut Merah pada tahun lalu, termasuk 462 akibat kemalangan bot.

Iklan

Bulan lalu, lapan mangsa maut selepas penyeludup memaksa migran terjun dari bot di Laut Merah.

Mangsa terbaru dikatakan kebanyakannya adalah warga Ethiopia. Usaha pencarian oleh pasukan keselamatan Yemen masih diteruskan untuk mengesan mangsa yang hilang.

Selepas tiba di Yemen, migran berdepan pelbagai risiko termasuk penderaan, eksploitasi, dan terkandas dalam konflik yang berlarutan.

Pada April lalu, lebih 60 migran maut dalam serangan ke atas pusat tahanan di Yemen yang didakwa berpunca daripada serangan udara Amerika Syarikat.

Negara Teluk terus menjadi tarikan buat migran Afrika dan Asia kerana peluang pekerjaan dan ekonomi yang lebih stabil. -AFP