KUALA LUMPUR –"Badan saya terus menggigil, tak sangka suami ditikam."
Demikian luahan Nurfazliana Osman, 35, isteri kepada anggota polis, Koperal Mohd Nadzri Sudirman yang cedera parah selepas ditikam seorang penagih dadah ketika sedang bertugas berhampiran Pasar Pudu di sini Khamis lalu.
Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi panggilan telefon oleh pihak hospital pada kira-kira jam 1 petang.
"Saya diberitahu suami perlu segera dibedah kerana ususnya terkoyak akibat ditikam, saya memang terkejut dan takut.
"Pihak hospital perlukan keizinan saya untuk pembedahan itu sebelum saya dibawa ke sana menaiki kenderaan polis. Apa yang mampu saya lakukan adalah berdoa agar suami sembuh," katanya.
Nurfazliana yang juga suri rumah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima lawatan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras di sini pada Sabtu.
Turut serta, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad; Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Datuk Azizee Ismail; Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan.
Mengulas lanjut Nurfazliana berkata, suaminya menjalani pembedahan selama lima jam dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kardiotorasik (CICU) untuk pemantauan lanjut.
"Keadaan suami stabil tapi masih lemah dan perlukan rawatan rapi. Sebagai isteri anggota polis, saya tahu tugas mereka penuh risiko. Tapi bila perkara begini berlaku, perasaan takut itu tetap ada," katanya.
Menurutnya, dua anaknya yang berusia 11 dan tujuh tahun telah dimaklumkan mengenai keadaan bapa mereka.
"Anak-anak nampak lebih tenang daripada saya, mereka tahu ayah dirawat dan mereka harap dia cepat sembuh," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Khamis lalu, mangsa yang juga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sedang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar Pasar Pudu sebelum menahan seorang lelaki untuk pemeriksaan.
Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dan menikam anggota itu di bahagian perut.
Mangsa dikejarkan ke hospital dalam keadaan parah sebelum menjalani pembedahan kecemasan.
Suspek yang memiliki rekod lampau berkaitan dadah ditahan di lokasi kejadian dan kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.