KUANTAN – Bapa kepada lima anak tidak menyangka dirinya menjadi antara 27 individu yang terpilih menerima Anugerah Pekerja Dedikasi sempena sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2025.
Berbekalkan tujuh tahun pengalaman dalam bidang pembersihan, Zulkifli Abdullah, 59, mengakui terharu sebaik sahaja menerima pengiktirafan terbabit.
Menurutnya, penghargaan diberikan untuk dirinya oleh majikan adalah kenangan yang sukar dilupakan.
"Saya tidak tahu dan jangka akan menerima anugerah ini kerana ia dimaklumkan secara tiba-tiba oleh majikan. Jadi dengan penghargaan ini saya akan melaksanakan tugas dengan baik bagi mengekalkan prestasi," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2025 dan Monumen Kompaktor di Taman Gelora di sini pada Sabtu.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Fasiliti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Azman Omar dan turut dihadiri Pengarah SWCorp Pahang Zaidi Tuah.
Pada majlis itu, seramai 27 pekerja pembersihan awam di seluruh Pahang dipilih menerima pengiktirafan berdasarkan komitmen dan sumbangan berterusan mereka, khususnya bagi tempoh perkhidmatan melebihi lima tahun.
N Ganthimati, 53, pula berkata, penghargaan yang diterima adalah satu pengalaman manis sepanjang 15 tahun berkhidmat dalam bidang berkenaan.
Menurut ibu kepada lima anak, pengiktirafan itu menjadi dorongan untuk terus menunaikan amanah bagi memastikan kawasan sentiasa bersih dan selesa untuk masyarakat.
“Saya gembira dan tak sangka terpilih dan ini penghargaan selepas bertahun-tahun bekerja,” katanya yang bertugas di sekitar kawasan Taman Gelora.
Sementara itu Azman berkata, pihaknya sentiasa menghargai sumbangan pekerja pembersihan sebagai barisan hadapan dalam memastikan kebersihan dan kesihatan persekitaran terpelihara.
Menurutnya, masyarakat juga perlu mengubah persepsi terhadap pekerja pembersihan yang selama ini sering dipandang rendah, sedangkan mereka adalah individu penting dalam menjaga kebersihan dan kesihatan awam.
"Sebenarnya kerja mereka inilah yang paling mulia, mereka bukan hanya menjaga kebersihan, tetapi juga kesihatan kita semua. Jika kawasan tak bersih, nyamuk, tikus dan vektor penyakit lain akan membiak, akhirnya kita juga yang susah," katanya.
Beliau menambah, pihaknya komited mengangkat martabat pekerja pembersihan melalui penyediaan latihan dan pensijilan khusus.
“Sebab itu dalam SWCorp, kita ada satu pusat latihan di mana pekerja pembersihan diberikan latihan bagi meningkatkan kompetensi mereka di lapangan,” katanya.