Tarif: Malaysia setuju beli 30 pesawat Boeing dari AS

Iklan
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bercakap pada sidang akhbar berkaitan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) di Menara MITI hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia bersetuju untuk membeli 30 lagi pesawat Boeing dari Amerika Syarikat (AS) bernilai $AS9.5 bilion sebagai komitmen memperkukuh hubungan perdagangan dua hala kedua-dua negara.

Langkah tersebut susulan rundingan yang membawa kepada pengurangan tarif AS ke atas Malaysia sebanyak 19 peratus berbanding 25 peratus.

Iklan
Iklan

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembelian pesawat berkenaan juga merupakan sebahagian daripada beberapa komitmen perdagangan Malaysia dalam rundingan tersebut.

Menurutnya, keputusan tersebut juga dibuat berdasarkan pertimbangan komersial dan keperluan jangka panjang industri penerbangan negara.

Iklan

“Kita telah membuat beberapa komitmen berkaitan pertimbangan komersial, salah satunya ialah pembelian pesawat Boeing.

"Pembelian 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion untuk fasa pertama dan 30 pesawat lagi pada nilai sama bagi fasa kedua," katanya pada Sidang Media, di sini pada Jumaat.

Iklan

Pada Mac lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Malaysia Aviation Group (MAG) telah membuat tempahan bagi 30 pesawat Boeing 737, yang dijadualkan dihantar kepada syarikat itu menjelang 2030.

AS sebelum ini mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari Malaysia namun kadar itu dikurangkan kepada 19 peratus selepas beberapa pusingan rundingan dibuat.

Tengku Zafrul berkata, peranan Malaysia menjadi pendamai perang antara Kemboja-Thailand dipercayai menyumbang kepada keyakinan AS untuk menurunkan kadar tarif.

Menurutnya, pihaknya menerima kelulusan Kabinet pada 25 Julai 2025 untuk Malaysia mengemukakan tawaran terbaik terakhirnya kepada AS untuk pertimbangan Presiden Trump.

Sehubungan itu, MITI bersama Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) bakal mengeluarkan kenyataan bersama berhubung tarif pada Sabtu atau Ahad, yang bakal memperincikan lagi perkara tersebut.