PELABUHAN KLANG - Polis membuka kertas siasatan berhubung kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang maut selepas terjatuh dari tingkat lapan Flat Seri Perantau di sini pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamal Ariffin Aman Shah berkata, siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa tidak berada di rumah ketika kejadian.
Beliau berkata, kejadian tersebut berlaku di Blok J iaitu salah sebuah blok di kawasan perumahan berkenaan melibatkan mangsa yang berumur empat tahun.
"Pada masa kejadian, bapa mangsa berada di tempat kerja manakala ibu mangsa telah keluar dari rumah untuk menghantar anak kedua ke rumah pengasuh.
"Mangsa dipercayai telah terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat lapan flat berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi," katanya.
Susulan itu Kamal Ariffin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan berhubung kes berkenaan.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 atas kesalahan pengabaian kanak-kanak.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan," katanya.
Terdahulu, suasana di Flat Seri Perantau di sini gempar apabila seorang kanak-kanak ditemui dalam keadaan tertiarap dengan berlumuran darah di bahagian kepala selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan flat terbabit.