KOTA KINABALU - Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA) 2025 berjumlah RM200 juta dilancarkan pada Jumaat, dengan Agrobank sebagai agensi pelaksana bagi memperkukuh sektor agromakanan negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, dana itu bertujuan meningkatkan keterjaminan makanan serta menyokong kelestarian industri pertanian dan agromakanan negara dengan menawarkan kemudahan pembiayaan kepada usahawan komuniti tani.
“Program ini bertujuan membantu usahawan yang terlibat dalam aktiviti pertanian dan pengeluaran agromakanan dari huluan sehingga hiliran, termasuk aktiviti perkhidmatan sokongan, yang saya percaya dapat membantu usahawan terutama di akar umbi.
“Dana ini merangkumi pembiayaan untuk modal tetap seperti pembelian aset dan kos pembangunan, serta keperluan modal kerja bagi keseluruhan rantaian nilai industri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan dana itu sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025, di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak; Pengerusi Agrobank, Datuk Yunos Abd Ghani; dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Arthur berkata, Agrobank perlu menilai setiap permohonan untuk menentukan kelayakan pemohon berdasarkan syarat dan skop yang telah ditetapkan, dengan butiran lebih terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Belum tahu lagi bilangan penerima kerana Agrobank akan terlebih dahulu menilai permohonan yang dibuat. Selepas itu, kita akan tentukan siapa dan berapa ramai yang layak menerima dana itu,” katanya.
DPA 2025 menawarkan pembiayaan antara RM50,000 hingga RM5 juta kepada usahawan komuniti tani yang layak dan menepati keperluan projek, dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun.
Sementara itu, Arthur berkata, Agrobank dan TM One mengadakan kerjasama strategik bagi memperkukuh infrastruktur digital Agrobank untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kewangan, termasuk mesin ATM, CDM dan perbankan dalam talian.
Menurutnya, inisiatif itu akan meningkatkan kelajuan internet dan memperluas jaringan hubungan Agrobank dengan pelanggannya.
“Ini langkah strategik dalam usaha meningkatkan digitalisasi perkhidmatan Agrobank serta memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik kepada masyarakat, terutamanya komuniti tani di kawasan luar bandar,” katanya. - Bernama