PUTRAJAYA – Kerajaan memerlukan sedikit masa untuk meneliti sepenuhnya dokumen kenyataan bersama yang dikemukakan hasil koordinasi antara Arab Saudi dan Perancis berhubung gesaan agar Hamas menyerahkan kuasa pemerintahan di Gaza.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini Malaysia belum membuat keputusan untuk menandatangani kenyataan berkenaan yang dibincangkan dalam satu mesyuarat khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.
Menurut beliau, wakil tetap Malaysia ke PBB telah diminta untuk memberi perhatian terhadap dokumen tersebut, namun kerajaan berpendapat perkara itu perlu dikaji secara menyeluruh terlebih dahulu.
“Antara yang diminta dalam dokumen itu termasuk hal yang disebutkan tadi (gesaan agar Hamas meletakkan senjata). Jadi, kita berikan sedikit masa kepada Wisma Putra untuk meneliti sepenuhnya dokumen yang dimaksudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan pasca kabinet di sini pada Jumaat.
Fahmi turut menegaskan pendirian Malaysia kekal tidak berubah terhadap Palestin.
“Pendirian kerajaan adalah Palestin itu punya hak untuk wujud dan kita tidak melihat kepada perkara-perkara lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan agar memberi kenyataan rasmi kepada Dewan Rakyat awal minggu hadapan.
“(Kenyataan itu) dijangka antara Isnin hingga Rabu bagi menjelaskan pendirian Malaysia secara menyeluruh,” katanya.
Terdahulu, Qatar, Arab Saudi dan Mesir antara 17 negara bersama Britain, Perancis serta Kanada, menandatangani deklarasi yang menuntut Hamas meletakkan senjata dan tidak lagi mentadbir Palestin.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas persidangan peringkat tinggi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel dan menuntut pembebasan semua tebusan yang masih ditahan.
Deklarasi itu menyeru Hamas untuk menyerahkan senjatanya kepada pihak berkuasa Palestin sebagai sebahagian daripada usaha penyelesaian dua negara.