Meninggal dunia dalam tahanan, waris terima RM194,170

Iklan
Mahkamah Tinggi Shah Alam.

SHAH ALAM – Keluarga seorang bekas pengawal keselamatan yang meninggal dunia dalam tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menerima ganti rugi RM194,170.

Mahkamah Tinggi di sini memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman keluarga mendiang M Thinagaran, 31, selaku plaintif terhadap pengarah maritim Selangor, seorang pegawai penyiasat APMM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Iklan
Iklan

Ia berhubung isu kecuaian ketika mangsa ditempatkan dalam tahanan berhubung kes pengedaran dadah.

Jumlah itu merangkumi ganti rugi RM172,800 untuk kehilangan pendapatan; RM6,370 (ganti rugi khas) RM5,000 (perbelanjaan pengebumian) dan RM10,000 (ganti rugi kesedihan).

Iklan

Kerajaan juga diperintahkan untuk membayar kos RM30,000 kepada balu mangsa, R Tenaswari dan bapanya, K Madhavan.

Berdasarkan penghakiman bertulis yang dimasukkan ke sistem kehakiman pada Isnin lalu, Hakim, Alice Loke Yee Ching berkata, semua defendan gagal melaksanakan penjagaan yang munasabah bagi mencegah kematian Thinagaran.

Iklan

Menurutnya, berlaku pelanggaran kewajipan apabila si mati dibiarkan bersama sehelai seluar tambahan dengan kehadiran gril dalam lokap.

Sedangkan katanya, terdapat risiko yang tidak boleh dijangka dalam kalangan tahanan.

“Jika pemantauan mencukupi dibuat, ia boleh mencegah insiden yang meragut nyawa tahanan itu.

“Pihak defendan mempunyai kewajipan berjaga-jaga untuk memastikan simati tidak mengalami sebarang kemudaratan ketika ditahan,” katanya.

Menurut fakta kes, pada 9 Januari 2019, pegawai APMM yang bertindak atas risikan, memintas sebuah kapal yang mencurigakan di perairan Selangor.

Selain Thinagaran, seorang lagi individu, turut berada di atas kapal tersebut termasuk beberapa bungkusan yang kemudiannya disahkan mengandungi dadah.

Susulan itu, kedua-dua lelaki itu direman untuk tujuan siasatan, di pejabat penguatkuasaan Maritim di Klang.

Pada hari yang sama, Thinagaran dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan.

Dia didiagnosis menghidap sakit kepala berkaitan tekanan dan telah dipreskripsikan ubat.

Empat hari kemudian, Thinagaran ditemukan meninggal dunia yang mana terdapat kamera litar tertutup (CCTV), merakam detik-detik penting yang membawa kepada kematiannya.

Dalam tuntutan saman, Tenaswari dan Madhavan memfailkan saman terhadap tiga pihak itu, dengan alasan berlaku kecuaian, pelanggaran kewajipan statutori dan salah laku pentadbiran dalam jawatan awam.

Dalam kes berkenaan, plaintif diwakili peguam, M Manoharan sementara Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syakimah Ibrahim bagi pihak kerajaan.