ALOR SETAR – Impian seorang remaja lelaki untuk bergelar juruteknik pendingin hawa tetap tinggi walaupun sedang berjuang melawan kanser darah yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Muhammad Fakhrullah Haziq Mohd Fisal, 18, pelajar Kolej Vokasional Alor Setar, berkata, dia mula menyedari simptom berulang seperti demam berpanjangan sebelum disahkan menghidap penyakit tersebut.
“Saya pernah pengsan ketika menunggu rawatan di Hospital Lama Alor Setar tiga tahun lalu sehingga terpaksa dihantar menaiki ambulans ke Jabatan Kecemasan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Doktor kemudian mengambil sampel darah dan mengesahkan saya menghidap kanser darah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Seri Gemilang, di sini.
Menurut Fakhrullah Haziq, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas diagnosis kerana terpaksa mengambil cuti sakit selama setahun untuk memberi tumpuan kepada rawatan, namun kini kembali menyambung pelajaran dalam bidang kegemarannya.
Ibunya, Hasmidar Hassan, 44, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu telah menjalani empat pusingan kemoterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum rawatan diteruskan secara kemoterapi di rumah.
“Setiap tiga bulan sekali, dia menjalani pemeriksaan sum-sum tulang di hospital. Saya hanya mengambil upah menjahit pakaian dan pendapatan memang tidak menentu,” katanya yang menguruskan anaknya seorang diri selepas kematian suami.
Jelas Hasmidar, mereka bergantung kepada bantuan bulanan RM500 daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi menampung keperluan asas termasuk sewa rumah, barangan dapur dan kos ulang-alik ke hospital.
Anak sulungnya pula menetap di Kuala Lumpur selepas berkahwin dan tidak dapat bersama menjaga serta menguruskan Fakhrullah semasa menerima rawatan di hospital.
“Kakak Fakhrullah tinggal di Kuala Lumpur dan dia turut membantu sekadar mampu. Sebenarnya, tempahan pakaian untuk dijahit juga semakin berkurangan sejak kebelakangan ini menyebabkan pendapatan terjejas.
“Mujur kami menerima bantuan bulanan daripada LZNK yang sedikit sebanyak membantu kehidupan kami dua beranak,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal turut hadir menyampaikan sumbangan dan menyeru orang ramai supaya menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Fakhrullah Haziq, boleh disalurkan ke akaun CIMB Bank 7048494496 atas nama Hasmidar Hassan.