RMK13: Akta Orang Asli akan disemak semula

Iklan
Akses pendidikan kepada Orang Asli turut menjadi keutamaan kerajaan.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) akan disemak semula menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi menambah baik perlindungan hak dan darjat komuniti tersebut,

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melaluinya, perihal pemilikan tanah, pendidikan dan infrastruktur kepada komuniti ini akan ditambah baik sebagai ikhtiar meningkatkan sosioekonomi Orang Asli.

Iklan
Iklan

"Semakan dasar akan dibuat bagi membolehkan Orang Asli mendapat manfaat yang setara dan saksama dengan semua.

"Akses pendidikan kepada Orang Asli turut menjadi keutamaan kerajaan.

Iklan

"Selain pemberian terus bantuan persekolahan kepada ibu bapa murid Orang Asli, sekolah berasaskan komuniti atau community-based school juga akan diperluas," katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan memberi jaminan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) akan terus melindungi hak-hak komuniti itu mengikut akta sedia ada bagi memastikan kemajuan Orang Asli di negara ini.

Iklan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa perkara dan isu berkaitan masyarakat Orang Asli dikenal pasti memerlukan pindaan sewajarnya iaitu hal berkaitan tanah termasuk tanah adat, hal ehwal kebajikan mereka, pengurusan perkahwinan adat dan tadbir urus kepimpinan tradisi masyarakat berkenaan.

Ahmad Zahid menjelaskan, kementeriannya juga akan mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri melalui Mesyuarat Khas Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) bagi membincangkan hal berkaitan tanah melibatkan Orang Asli memandangkan hal pentadbiran tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Sementara itu, Anwar dalam pembentangan RMK13 juga menegaskan, kerajaan tidak akan mengetepikan keperluan masyarakat Cina dan India yang berpendapatan rendah.

Jelas beliau, pendekatan menyeluruh bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat berkenaan perlu mencakupi aspek pendidikan, keusahawanan dan perumahan.

"Tahap sosioekonomi Kampung Baru Cina akan diperkukuh menerusi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru yang akan menyediakan dana pembiayaan bagi kegiatan keusahawanan termasuk menyedia dan menambah baik tapak penjaja.

"Inisiatif dan program merangkumi pendidikan dan pembangunan bakat, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penguasaan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) akan dilaksanakan bagi meningkatkan peluang kerjaya masyarakat India," katanya.

Selain itu tambah beliau, inisiatif baik pulih rumah serta pemantapan tatakelola pengurusan masyarakat India akan turut dilaksanakan.

"Infrastruktur dan kemudahan awam juga akan ditambah baik untuk meningkatkan akses jaringan sosial dan peningkatan kualiti hidup masyarakat Cina dan India termasuk wanita, belia dan warga berusia," ujar beliau.