Program Madani Rakyat, sesi libat urus dengan kerajaan negeri diteruskan

Iklan
Anwar umum Program Madani Rakyat diteruskan bagi mendekati dan mendengar sendiri keluh kesah rakyat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Madani Rakyat sebagai platform utama bagi pemimpin turun padang mendengar secara langsung keluhan dan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program tersebut akan dilengkapi dengan sesi libat urus bersama kerajaan negeri, termasuk negeri yang berbeza haluan politik, bagi memastikan keutamaan pembangunan diselaraskan mengikut keperluan setempat.

Iklan
Iklan

Beliau menjelaskan pendekatan tersebut bukan sekadar simbol keterbukaan pentadbiran Madani, tetapi mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menjadikan suara rakyat sebagai asas kepada segala keputusan dasar dan peruntukan pembangunan.

“Melalui sesi ini, kita lebih memahami keutamaan pembangunan di setiap negeri,” katanya dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Menurut Anwar, hasil daripada sesi libat urus tersebut, beberapa projek berorientasikan rakyat telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di seluruh negara.

Antaranya ialah projek peningkatan kemudahan Negeri Sembilan Miniature Culture Village, pembinaan Loji Rawatan Air Machang di Kelantan, dan penyelesaian isu bekalan air di Wilayah Persekutuan Labuan.

Iklan

Turut disenaraikan ialah pembangunan Klinik Kesihatan Pulau Perhentian di Terengganu, pembinaan bangunan tambahan Hospital Kulim di Kedah, serta pengukuhan rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak.

Anwar menegaskan, usaha sedemikian akan diteruskan secara menyeluruh di bawah RMK13 agar pembangunan yang dilaksanakan benar-benar menyentuh keperluan sebenar rakyat, bukan hanya bersifat simbolik atau terpusat.

“Inisiatif ini adalah bukti pendekatan pembangunan berasaskan keperluan setempat, berpaksikan dialog terbuka dan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri demi manfaat rakyat seluruh negara,” katanya.