JOHOR BAHRU – Dua anggota polis direman tujuh hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM635,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan perjudian.
Perintah reman itu sehingga 5 Ogos itu dikeluarkan Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 2 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu di atas kesalahan aktiviti perjudian.
"Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara tunai,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.