SEREMBAN - Tukang kebun sekolah dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki.
Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Azlee Ruslan, 42, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Beliau mengarahkan hukuman penjara tertuduh bermula dari tarikh tangkapan pada 23 Julai lalu dan dikehendaki menjalani kaunseling pemulihan serta pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani pemenjaraan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun antara 10 hingga 18 Julai lalu.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara minimum 20 tahun dan sebatan.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama dengan menyebabkan kanak-kanak itu memerhati video lucah pada 2 Julai lalu.
Kesalahan itu dilakukan di pondok sampah sebuah sekolah rendah di daerah ini dan di sebuah pasar raya.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara minimum kerana ibunya uzur, selain berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan jenayah dilakukan melibatkan pelajar sekolah.