KUALA LUMPUR - Proses semakan pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kini berada di peringkat akhir penyediaan Memorandum Dasar dan dijangka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya bercadang untuk membentangkan cadangan pindaan SOSMA pada sesi Parlimen dan tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.
Iklan
Iklan
“Kementerian Dalam Negeri pada masa ini sedang meneliti dan membuat semakan semula terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747] atau SOSMA secara menyeluruh.
“Sebanyak 73 kesalahan yang diperuntukkan di bawah SOSMA telah dikenal pasti dan sedang diteliti semula bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan prinsip ‘due process of law’ sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta obligasi Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Ia bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanyakan status kemajuan semakan semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di mana 73 kesalahan diteliti selaras dengan keperluan hak asasi manusia dan proses undang-undang mahkamah ‘due process’.
Tambah Saifuddin, dalam proses semakan ini, kementeriannya telah dan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Ia termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), badan kehakiman dan perundangan, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta pakar perundangan dan pihak-pihak berkepentingan lain.