SHAH ALAM – Kumpulan Kampungku 17 yang terdiri daripada lima sekeluarga muncul juara pertandingan memasak berpasukan Riuh Rewang 2025 sempena Karnival Siang Malam Karangkraf di Dataran Karangkraf, di sini.
Program anjuran Mahsuri Dagang Sdn Bhd (Mahsuri Dagang) bersama Karangkraf itu mengetengahkan elemen masakan tradisional secara santai dan disertai 10 pasukan yang bertanding secara kreatif menggunakan produk Mahsuri dalam setiap sajian.
Kemenangan itu membolehkan Kampungku 17 membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta barangan Mahsuri.
Ketua kumpulan, Norharizah Abdul Rahman, 62, berkata, kemenangan itu amat bermakna kerana ia disertai oleh adik, anak-anak serta menantunya yang turut memberi sumbangan besar kepada resipi rahsia masakan mereka.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan gembira kerana dipilih sebagai juara. Semua masakan kami menggunakan produk Mahsuri sepenuhnya, berinspirasikan warisan Langkawi seperti Nasi Legenda Mahsuri, Daging Kota Mahsuri dan Siakap Dayang Bunting.
“Nasi kami dimasukkan sos tiram Mahsuri, daging diperap menggunakan pelbagai sos dan kicap Mahsuri manakala siakap diolah dengan sos tiga rasa dan cili api merah yang dijeruk dengan cuka,” katanya.
Pertandingan itu diadili tiga juri profesional iaitu Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz; Cef Selebriti, Dr Soo Wincci dan bekas Editor Pengurusan Majalah Rasa, Ida Abdul Aziz serta juri awam.
Turut menganggotai Kampungku 17 ialah adiknya, Norhashikin, 52; menantunya, Siti Rohaida Ramli, 37 dan dua anaknya, Nik Nurul Ain Nik Abdul Rahman Fathil, 42 serta Nik Nurul Hana Nik Abdul Rahman Fathil, 26.
Menurut Norharizah, mereka pernah menyertai pertandingan yang sama sebelum ini dan meraih tempat kedua.
Sementara itu, naib juara dimenangi oleh kumpulan Senduk Stylo yang membawa pulang wang tunai RM800 serta barangan Mahsuri manakala tempat ketiga dimenangi Rama-Rama Kitchen yang memperoleh hadiah wang tunai RM600 dan barangan Mahsuri.
Dua kumpulan menerima hadiah saguhati iaitu Mawar United dan Sahabat Ben10, masing-masing membawa pulang RM400 dan barangan Mahsuri.
Lima lagi pasukan iaitu Air Tangan Bonda, Dapur Kita, Anggerik, Lepak Santai dan Jarang X Riuh turut menerima barangan Mahsuri sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.
Penjurian ketat, kualiti makanan tahap hotel
Cef selebriti dan juri pertandingan, Soo Wincci berkata, pemilihan pemenang dibuat secara menyeluruh bukan sahaja berdasarkan rasa, tetapi turut mengambil kira kreativiti, persembahan dan kerjasama berpasukan.
“Ini adalah cabaran luar dan saya lihat tadi, peserta cukup kreatif. Jadi, agak sukar untuk juri dan saya perlu pilih yang paling sedap dan tidak berat sebelah.
“Saya kagum kerana ada peserta dari negeri lain dan ada yang memang kerap menyertai pertandingan ini. Jadi, saya tetapkan harapan tinggi dan jangka sesuatu yang lain daripada yang lain iaitu enak, sedap dan senang untuk dibuat,” ujarnya.
Menurut beliau, makanan yang disediakan peserta sangat sedap dan menepati cita rasa tempatan, malah menyerlahkan nilai komersial.
“Makanan mereka macam rasa makanan hotel! Ini yang kita cari. Saya harap Mahsuri dan Karangkraf boleh hasilkan buku resipi daripada para pemenang sebab banyak resipi sedap, rugi kalau tak dikongsi,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan harapan agar pertandingan Riuh Rewang diteruskan pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar dan penyertaan lebih meluas.
Nabil meriahkan suasana
Pelakon dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad yang merupakan Duta Mahsuri Dagang turut hadir sebagai pengacara khas bagi memeriahkan suasana pertandingan.
Nabil menyifatkan penyertaan kali ini luar biasa kerana bukan sahaja menyaksikan kehebatan peserta memasak, tetapi juga kreativiti mereka dalam menghias reruai dan menyusun persembahan makanan.
“Saya sebagai duta sangat seronok dan bersyukur melihat sambutan yang cukup hangat kali ini dengan penyertaan 10 kumpulan. Para peserta juga hebat dan mereka menggunakan produk Mahsuri sebagai bahan utama.
“Mereka buat pelbagai inovasi, ada yang jadikan produk Mahsuri sebagai pes masakan, ada yang tampilkan cita rasa klasik. Persembahan mereka pun luar biasa, dari segi pemakaian dan susun atur makanan,” katanya.
Menurut Nabil, beliau sendiri sempat merasa beberapa hidangan peserta dan menyifatkannya sangat sedap dan menepati cita rasa.
"Saya berterima kasih kepada semua yang bersama dengan kita pada hari ini dan jangan lupa untuk terus menggunakan produk Mahsuri. Lebih senang, lebih sayang,” katanya.
Sementara itu, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, penyertaan syarikat dalam program Riuh Rewang merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mahsuri untuk menyatukan komuniti melalui medium masakan.
“Sekarang ini ramai yang banyak habiskan masa di rumah atau media sosial, jadi program seperti ini penting untuk menyatukan keluarga dan komuniti.
“Sambutan terhadap program kali ini sangat memberangsangkan. Kami dapat 10 pasukan dengan mudah dan walaupun panas terik, ramai pengunjung datang,” katanya.
Menurut beliau, Mahsuri menerima jemputan daripada Karangkraf dan terus bersetuju kerana konsep pertandingan ini bukan untuk profesional tetapi untuk komuniti.
“Program Riuh Rewang ini sangat selari dengan nilai produk Mahsuri yang berkait rapat dengan dunia masakan dan makanan,” katanya.