Shazeli Kahar Ketua Polis Selangor baharu

Iklan
Gilberd AK Philip Layang (tengah) menyaksikan Mohd Zaini (kiri) menyerahkan dokumen kepada Shazeli pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di IPK Selangor, Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM - Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Datuk Shazeli Kahar dilantik sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu berkuat kuasa Rabu.

Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Hussein Omar Khan yang sebelum ini memegang jawatan berkenaan sebelum dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 21 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Sepanjang kekosongan jawatan tersebut, ia dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Zaini Abu Hassan.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman, Komisioner Polis Gilberd Philip Layang.

Iklan

Dalam ucapannya, Shazeli menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah besar yang harus dipikul.

“Saya sedar harapan masyarakat dan warga PDRM terhadap kepimpinan yang berintegriti, berwibawa dan dekat di hati.

Iklan

“Justeru, saya bertekad untuk meneruskan legasi kecemerlangan pentadbiran yang telah dibina sebelum ini serta memacu perubahan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negeri Selangor sentiasa terpelihara,” katanya pada Rabu.

Shazeli, 50, telah berkhidmat dalam PDRM hampir 25 tahun sejak memulakan tugas sebagai pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang beberapa jawatan strategik di Bukit Aman serta mengetuai Cawangan Khas di IPK Perak yang melibatkan pemantauan terhadap ekstremisme sosial dan pelampau agama.