Kerajaan teliti cadangan larang kanak-kanak bawah 13 tahun miliki akaun media sosial

Iklan
Fahmi

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi mempertimbangkan cadangan tidak membenarkan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun untuk memiliki akaun media sosial.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, modul literasi digital pula akan diberi kepada mereka yang berumur 13 tahun ke atas supaya golongan itu memahami kerencaman maklumat sedia ada.

Iklan
Iklan

"Sekiranya ahli Yang Berhormat bertemu dengan mana-mana kumpulan pelajar bawah 13 tahun dan bertanya adakah mereka mempunyai akaun TikTok, ramai yang akan kata ya.

"Ini sebenarnya satu kesalahan yang diakui oleh pihak TikTok sendiri. Jadi kita sedang teliti, salah satu caranya ialah bawah 13 tahun, kita tidak membenarkan memiliki akaun media sosial," katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.


Iklan

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkenaan cadangan mewujudkan dasar khas bagi kesejahteraan kanak-kanak khususnya melibatkan kandungan dalam talian.

Dalam pada itu Fahmi memaklumkan, sebanyak 1,443 kandungan jelik dan jelik melampau membabitkan kanak-kanak diturunkan penyedia perkhidmatan berikutan permohonan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Iklan

Menurutnya, tindakan tersebut dilakukan ekoran pelanggaran peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta garis panduan komuniti penyedia platform.

"Sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia, SKMM mengambil pendekatan menyeluruh untuk memastikan kandungan memudaratkan seperti konten anomali, toksik dan merosakkan kognitif seperti 'brain rot' dapat dikawal dan dicegah.

"Antara langkah-langkah kawal selia yang telah dan sedang dilaksanakan adalah sesi libat urus berterusan dengan penyedia perkhidmatan platform seperti YouTube dan TikTok bagi memastikan sistem algoritma mereka lebih telus dan selaras dengan kehendak peraturan tempatan.

"Ini termasuk keperluan untuk mengehadkan pendedahan pengguna kepada kandungan yang berunsur negatif atau memudaratkan," katanya.