KDN haramkan dua buku dikhuatiri memudaratkan moral

Iklan
Dua buku yang telah diwartakan Perintah Larangan oleh KDN.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap dua tajuk penerbitan iaitu Chase Me dan Ammar Zahrain: The Obsessive Husband yang dikhuatiri memudaratkan moral.

Menerusi kenyataan media pada Selasa, KDN memaklumkan bahawa perintah tersebut masing-masing dikeluarkan pada 1 dan 3 Julai lalu di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

Iklan
Iklan

"Perintah larangan ini merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.

"Dalam masa yang sama, masyarakat dilindungi dan turut memperoleh pendedahan serta kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum," kata KDN.

Iklan

Seiring peruntukan subseksyen 7(1) Akta 301, segala bentuk pencetakan, pengimportan, penerbitan, pengedaran dan pemilikan bahan penerbitan yang disenaraikan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

KDN turut mengingatkan bahawa sesiapa yang didapati memiliki atau mengedar hasil penerbitan larangan tanpa sebab munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah subseksyen 8(1) dan 8(2) akta sama, termasuk denda hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Iklan

"Kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan dalam melaksanakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan, khususnya dalam membendung penyebaran unsur yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam," jelas KDN.

Senarai hasil penerbitan yang telah dikenakan Perintah Larangan boleh diakses melalui laman rasmi www.moha.gov.my atau portal Perundangan Persekutuan Malaysia.