TANJUNG MALIM – Adik-beradik kembar seiras menjadi tumpuan sempena hari pendaftaran pelajar baharu di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang di sini pada Ahad apabila kedua-duanya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sama di institusi pengajian tinggi itu.
Nur Ain Nabila dan Nur Ain Nafisa,18, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdullah, Chenderong Balai itu masing-masing mendaftarkan diri sebagai pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) Sesi 1 2025/2026 yang merupakan pilihan utama mereka melalui sistem UPU.
Menurut Nur Ain Nafisa, minat terhadap bidang kejuruteraan telah mula berputik sejak mereka berada di sekolah menengah lagi.
“Kami memang minat bidang kejuruteraan sejak di Tingkatan 4. Bila tengok kursus kejuruteraan ini ditawarkan di PSAS, kami terus letak sebagai pilihan pertama.
"Kami tahu politeknik mempunyai kemudahan yang baik serta tenaga pengajarnya juga berpengalaman," katanya menerusi siaran media kepada pemberita pada Isnin.
Sementara itu, Nur Ain Nabila berkata, pemilihan untuk belajar bersama di tempat yang sama tidak bermakna mereka akan bergantung antara satu sama lain sepenuhnya.
“Kami ada semangat dan motivasi masing-masing. Mak dan ayah selalu pesan supaya kami belajar berdikari walaupun berada di institusi sama.
"Tapi dalam masa sama, kami akan saling menyokong dan bersaing secara sihat,” ujarnya.
Bapa mereka, Mohd Nizam Baharudin, 50, dan ibu mereka, Siti Fatimah Ibrahim, 47, turut melahirkan rasa bangga dan menyokong penuh keputusan anak-anak mereka untuk memilih bidang kejuruteraan di PSAS sebagai hala tuju masa depan.
Kisah pasangan kembar ini turut mencerminkan aspirasi pendidikan teknikal dan vokasional negara yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia serta selari dengan hasrat Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk memperkasa modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong pembangunan negeri secara mampan.
Terdahulu, PSAS menerima kemasukan seramai 759 pelajar baharu bagi sesi pengajian kali ini dengan majoriti menunjukkan minat terhadap program TVET dalam jurusan Kejuruteraan, Perniagaan dan Perakaunan.
Majlis pendaftaran pelajar baharu turut diserikan dengan kehadiran ibu bapa dan penjaga yang memberikan sokongan moral kepada anak-anak masing-masing.
Selain pendaftaran turut diadakan Majlis Sesi Waris Bersama Pengurusan PSAS di Dewan Muallim yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada ibu bapa berhubung sistem pembelajaran dan hal ehwal pelajar di politeknik berkenaan.
Hadir sama Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Mohd Daud Isa; Timbalan Pengarah (Akademik) PSAS, Dr Nazratulhuda Awang @ Hashim dan Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PSAS, Muhamad Adha Shamdin @ Shamsuddin.
PSAS terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi TVET utama di bawah sistem POLYCC dan menjadi pilihan pelajar yang mahu melakar masa depan dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.
Kisah kejayaan awal pasangan kembar ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian secara berani dan bersama.