Bangladesh rayu sokongan Malaysia sertai ASEAN

Iklan
Nurul Izzah Anwar ketika mengadakan pertemuan dengan Dr Muhammad Yunus di Rumah Tetamu Negara Jamuna pada 27 Julai 2025. - Foto: Agensi

DHAKA – Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh, Dr Muhammad Yunus merayu sokongan Malaysia bagi membolehkan negaranya menyertai ASEAN sebagai anggota penuh.

Beliau menyuarakan hasrat itu pada Ahad ketika bertemu Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di Rumah Tetamu Negara Jamuna.

Iklan
Iklan

Nurul Izzah yang juga anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini berada di Dhaka dalam lawatan kerja.

“Kami ingin menjadi sebahagian daripada ASEAN dan kami memerlukan sokongan Malaysia,” kata Yunus dalam kenyataan pejabat berkenaan.

Iklan

Beliau berharap Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN ketika ini, dapat memainkan peranan penting meluluskan permohonan rasmi Bangladesh dan membuka jalan ke arah keahlian penuh pada masa depan.

Pada permulaan pertemuan itu, Nurul Izzah turut menyampaikan ucapan takziah atas tragedi nahas jet tentera yang meragut nyawa pelajar Milestone School and College di Dhaka.

Iklan

“Kami kehilangan begitu ramai insan dalam kejadian tragis itu,” ujar Yunus.

Beliau turut memaklumkan perkembangan politik semasa di Bangladesh dan usaha reformasi selepas kejatuhan kerajaan terdahulu yang diketuai Sheikh Hasina.

“Gerakan ini bermula oleh anak muda, tetapi seluruh rakyat akhirnya bangkit menentang pemerintahan fasis itu,” katanya.

Yunus juga mengajak syarikat Malaysia melabur di Bangladesh, dengan menyatakan kelebihan tenaga muda yang ramai sebagai aset pelaburan. - Agensi