BANGKOK – Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam satu insiden tembakan rambang di sebuah pasar makanan segar terkenal di Bangkok pada Isnin.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Bang Sue, Kolonel Worapat Sukthai, kejadian berlaku di Pasar Or Tor Kor dan melibatkan seorang lelaki bersenjata yang dipercayai telah menembak mati empat pengawal keselamatan dan seorang wanita sebelum menamatkan riwayatnya sendiri.
“Polis sedang menyiasat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia berkait dengan konflik sempadan Thailand-Kemboja yang sedang memuncak,” katanya.
Pasar Or Tor Kor yang terletak berhampiran destinasi pelancongan terkenal, Pasar Chatuchak, menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong untuk mendapatkan hasil pertanian dan makanan tempatan.
Pusat Perubatan Kecemasan Erawan mengesahkan jumlah korban termasuk lima mangsa tembakan dan suspek yang membunuh diri.
Pihak berkuasa kini sedang mengenal pasti identiti suspek serta meneliti latar belakangnya untuk mengetahui sebarang kaitan dengan insiden lain.
Thailand sering mencatatkan kejadian tembakan awam berikutan kawalan senjata api yang longgar di negara itu.
Polis masih menjalankan siasatan rapi di lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran jelas punca serangan berdarah itu. -Agensi