ROTTERDAM – Buat kali pertama dalam sejarah, Israel telah disenaraikan sebagai salah satu negara asing yang menjadi ancaman terhadap keselamatan Belanda, menurut laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh Penyelaras Keselamatan dan Antikeganasan Kebangsaan Belanda (NCTV).
Laporan bertajuk Penilaian Ancaman oleh Negara Asing itu menyatakan bahawa Israel didakwa berusaha mempengaruhi pendapat awam serta keputusan politik di Belanda melalui kempen maklumat palsu.
Iklan
Iklan
Salah satu insiden yang dinyatakan dalam laporan berkenaan melibatkan pengedaran dokumen oleh sebuah kementerian Israel kepada wartawan dan ahli politik Belanda melalui saluran tidak rasmi.
Dokumen tersebut dilaporkan mengandungi maklumat peribadi luar biasa mengenai warga Belanda, susulan ketegangan ketika perhimpunan penyokong kelab bola sepak Maccabi Tel Aviv di Amsterdam tahun lalu.
NCTV turut melahirkan kebimbangan terhadap ancaman yang semakin meningkat daripada Israel dan Amerika Syarikat terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague. Laporan menyebut tekanan tersebut boleh menjejaskan operasi mahkamah berkenaan.
Sebagai negara tuan rumah kepada beberapa institusi keadilan antarabangsa, Belanda mempunyai tanggungjawab khas untuk mempertahankan kebebasan institusi-institusi tersebut daripada tekanan luar.
Walaupun sebelum ini NCTV pernah menyuarakan kebimbangan terhadap perisian intip Israel, laporan kali ini tidak menyebut Israel dalam bahagian berkaitan risikan. – Agensi