SHAH ALAM – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) memperkasa kontraktor kecil bumiputera menerusi akses pembiayaan patuh syariah yang lebih mudah dan fleksibel.
Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi berkata, inisiatif terkini itu diperkenalkan bagi membantu golongan berkenaan meningkatkan daya saing dan penskalaan perniagaan secara mampan.
Jelasnya, perkara ini penting memandangkan cabaran utama kontraktor kecil Bumiputera adalah akses kepada pembiayaan disebabkan skala operasi yang terhad.
“Melalui pendekatan pembiayaan yang inovatif dan pemudahcara secara langsung bersama rakan strategik seperti institusi kewangan dan agensi teknikal, Teraju berperanan membuka ruang mobilisasi yang lebih luas agar syarikat-syarikat ini dapat berkembang secara mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Langkah tersebut dizahirkan menerusi penganjuran Sesi Pemerkasaan Kontraktor Kecil bumiputera yang berlangsung pada Isnin dan menghimpunkan lebih 160 kontraktor berdaftar kategori G1 dan G2 dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Ujar Junady, program berkenaan menjadi platform kepada kontraktor kecil untuk mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai kemudahan pembiayaan dan pemudahcara strategik daripada pelbagai pihak berkepentingan.
“Antara intervensi utama yang diketengahkan ialah Islamic Working Capital Financing Programme (i-WCPF) iaitu skim pembiayaan patuh Syariah yang direka khusus bagi membantu kontraktor mendapatkan modal kerja sehingga RM1 juta bagi setiap syarikat.
“Skim i-WCPF turut mengambil kira keperluan usahawan yang memerlukan pembiayaan cepat dan efisien bagi memastikan projek dapat dilaksanakan secara konsisten tanpa beban struktur kos yang tinggi.
“Inisiatif ini turut menyasarkan penskalaan kontraktor daripada G1 ke G2 dan seterusnya ke G3, sebagai langkah memperkukuh kapasiti dan daya saing kontraktor kecil bumiputera dalam pasaran,” katanya.
Jelas Junady, program itu juga selari dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang memberi tumpuan kepada penskalaan dan peningkatan keupayaan usahawan Bumiputera melalui Pemacu 2.
“Sejak 2015, PMKS bumiputera hanya merangkumi 39.1 peratus daripada 907,200 perusahaan berdaftar, menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh strategi sokongan, pembiayaan dan pembangunan kapasiti.
“Antara pengisian sesi termasuk dialog bersama penyedia pembiayaan, taklimat pemudahcara oleh Teraju serta pameran oleh rakan kolaborasi strategik.
“Usaha ini merupakan sebahagian strategi bersasar Teraju dalam memperkasa usahawan bumiputera secara inklusif dan berstruktur, sejajar dengan matlamat meningkatkan penyertaan bumiputera dalam rantaian nilai ekonomi nasional,” katanya.