Kastam rampas bunga ganja lebih RM10 juta

Iklan
Wan Jamal Abdul Salam (tengah) menunjukkan beg yang mengandungi bahan disyaki bunga ganja.

ASWANY OMAR

KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas enam beg disyaki mengandungi bunga ganja seberat 102.178 kilogram (kg) dengan nilai anggaran rampasan melebihi RM10.1 juta dalam dua kejadian berasingan pada 23 April lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan tersebut turut membabitkan penahanan tiga individu termasuk dua wanita.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam kejadian pertama kira-kira jam 10.30 pagi, pihak kastam menemui tiga beg yang ditinggalkan di Pintu 1, Zon Bebas, Rantau Panjang.

"Pemeriksaan ke atas beg berkenaan menemukan 88 paket plastik lut sinar mengandungi bahan yang disyaki bunga ganja.

Iklan

"Pada masa sama, pegawai kastam turut memeriksa seorang wanita yang membonceng motosikal dan membawa beg melalui lokasi sama. Hasil pemeriksaan menemukan 32 paket plastik lut sinar disyaki mengandungi bahan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Wan Jamal berkata, wanita berkenaan dan kesemua beg dirampas telah dihantar ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Rantau Panjang untuk siasatan lanjut.

Iklan

Susulan itu, anggota Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang telah membuat satu lagi pemeriksaan di Hentian Bas Ekspres kira-kira jam 11 pagi hari yang sama.

“Kami berjaya merampas dua lagi beg yang mengandungi 60 paket plastik lut sinar disyaki bunga ganja serta menahan dua suspek, masing-masing seorang lelaki dan wanita,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati penyeludup kini menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok selain mengambil kesempatan terhadap laluan Zon Bebas di Rantau Panjang.

“Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.