BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengakui kesilapan kecil menjejaskan gaya permainan mereka sehingga terlepas peluang ke separuh akhir Terbuka China di Changzhou pada Jumaat.
Pasangan nombor enam dunia itu tewas di tangan rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam aksi separuh akhir secara straight set.
Kai Wun mendedahkan biarpun mengenali gaya permainan satu sama lain, namun ia bukan jaminan buat mereka untuk meraih kemenangan.
Sememangnya beliau mengakui berlatih bersama dengan gandingan nombor dua dunia itu, tetapi situasi yang berlaku di gelanggang berbeza termasuk ketika aksi suku akhir Jumaat lalu.
“Permainan kami daripada segi terima servis dan pertahanan tidak begitu menjadi dan ia menyukarkan.
“Kami juga banyak melakukan kesilapan tidak sepatutnya. Walaupun kami saling mengenali corak permainan masing-masing, pasangan yang berjaya mengawal arah angin dan perjalanan bulu tangkis mempunyai kelebihan untuk menang,” katanya.
Dalam aksi lapan kelompok terbaik itu, Aaron-Wooi Yik menepati ramalan apabila mencatat kemenangan 21-16, 21-16 ke atas Wei Chong-Kai Wun dalam masa 33 minit.
Dalam pada itu, Wei Chong mengakui permainan Aaron-Wooi Yik pada perlawanan tersebut sangat baik.
“Kami tidak dapat mematahkan rentak mereka dan ia menjadi faktor kemenangan mereka,” katanya.
Kemenangan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik merekodkan empat kemenangan daripada tujuh pertemuan setakat ini.