SHAH ALAM – Seorang lelaki terkejut apabila air jus tembikai yang dipesan di sebuah restoran rupa-rupanya turut 'dimasukkan' perisa tambahan iaitu seekor anak lipas.
Menerusi video dikongsikan @syzzl5 di TikTok, dia hanya menyedari kehadiran anak lipas tersebut di dalam minuman yang dibungkus di dalam plastik selepas dia menghabiskan jus berkenaan.
"Geramlah aku kalau lepak mamak ada lipas dalam air,” katanya.
Pemuda dari Kuala Lumpur itu memberitahu telah memaklumkan kejadian tersebut kepada pekerja kedai makan dan menukarnya kepada minuman baharu.
Menurutnya, pekerja kedai memberikannya sebungkus air baharu sebagai permohonan maaf.
"Jus tembikai yang sudah habis diminum tidak perlu bayar," ujarnya.
Sementara itu di ruangan komen, orang ramai turut meninggalkan pelbagai komen termasuk berbaur jenaka dan nasihat kepada lelaki tersebut.
Turut ditanya sekiranya dia merasai sakit perut, rasa mual atau pening kepala.
"Ada rasa sakit (perut) sikit, mungkin disebabkan racun di badan lipas tidak terlalu kuat. Pening pun ada," katanya.
"Buat laporan pada KKM (Kementerian Kesihatan), jangan bagi muka pada kedai sebab melibatkan kesihatan pelanggan lain," komen @mohdjay795.