SHAH ALAM - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan memastikan kualiti penyenggaraan lebuh raya kekal pada tahap tertinggi bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna meskipun kadar tol tidak dinaikkan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sazali Harun berkata, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan tanggungjawab oleh syarikat konsesi sebagaimana diperuntukkan dalam perjanjian konsesi, sekali gus memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna lebuh raya terus terpelihara.
"Pengguna lebuh raya pada masa kini bukan sahaja mengharapkan kadar tol yang berpatutan, malah menuntut agar lebuh raya terus menyediakan pengalaman perjalanan selamat, selesa dan efisien.
"Tuntutan itu termasuklah penyelenggaraan jalan berkualiti, kemudahan rehat dan rawat (R&R) yang kondusif, sistem trafik pintar serta respons pantas terhadap sebarang insiden di lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Rabu, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya tahun ini bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat walaupun pelarasan kadar tol sepatutnya berlaku mengikut perjanjian konsesi.
Mengulas lanjut, Sazali memberitahu, aspek mesra pengguna seperti papan tanda yang jelas, pencahayaan mencukupi, kemudahan digital dan inisiatif teknologi hijau turut menjadi keutamaan dalam memastikan lebuh raya kekal relevan serta menyokong kesejahteraan rakyat.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan Madani yang sentiasa mendahulukan kepentingan pengguna lebuh raya dan tidak mengenepikan obligasi kepada syarikat konsesi.
"Keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol mencerminkan komitmen kerajaan Madani untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan pengguna lebuh raya khususnya," menurut Sazali.
Kongsi beliau, seramai 941,000 pengguna harian menggunakan lebuh raya tersebut menerima manfaat dari penangguhan kenaikan kadar tol itu.
Pengumuman terkini kerajaan itu sekali gus memberi kelegaan dalam menghadapi tekanan kos sara hidup semakin meningkat.
Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan kerjasama dan sokongan daripada syarikat konsesi dalam menjayakan aspirasi kerajaan Madani untuk kesejahteraan pengguna lebuh raya amatlah dihargai.
"LLM komited untuk terus menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang selamat, cekap dan berkualiti tinggi, seiring dengan aspirasi negara ke arah sistem infrastruktur mampan serta inklusif," ujarnya lagi.