MADA, JKR lakukan kerja awal selenggara Sungai Korok, pasang penghadang

Iklan
Tragedi di Sungai Korok, Jitra yang meragut nyawa enam sekeluarga.

JERLUN - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memulakan kerja-kerja memasang penghadang jalan dan penyelenggaraan Sungai Korok yang meragut nyawa enam sekeluarga pada awal bulan ini.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, inisiatif itu antaranya dengan menandakan laluan untuk memasang penghadang jalan di kawasan terlibat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah awal tersebut dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika menggunakan sungai buatan itu yang dibina sejak tahun 1970-an, selain untuk mengalirkan air dengan baik untuk kawasan pertanian.

“Saya yakin selepas ini, JKR akan memasang penghadang jalan di tepi terusan di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau penanaman padi lima musim dalam dua tahun di Kawasan MUDA, di Kampung Kemboja, Ayer Hitam, pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, cadangan menambah baik laluan dan penyelenggaraan Sungai Korok pernah diketengahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

“Saya anggap ia adalah cadangan yang amat wajar dan telah diterima baik oleh JKR,” ujarnya.

Iklan

Ismail jelaskan, Sungai Korok memerlukan penyelenggaraan sekurang-kurangnya empat kali setahun untuk memastikan sistem pengairan kawasan pertanian berjalan lancar.

“Bagi tujuan penyelenggaraan sungai, kita perlu ada ruang laluan, tetapi tidak akan menggunakan tepi jalan sebagai laluan penyelenggaraan. Kita akan masuk dari sebelah sana, namun kawasan sebelah sini juga perlu dikosongkan,” katanya.

Dalam tragedi 6 Julai, pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka iaitu Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Humaira, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, 6 bulan maut selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam Sungai Korok.

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, Jerlun.