EAIC syor pegawai CKAPS KKM dikenakan tindakan tatatertib

Iklan
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati pegawai Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) gagal untuk memberikan maklum balas terhadap permohonan pelepasan barang sitaan serta lewat dalam melengkapkan kertas siasatan.

EAIC dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menerima aduan terhadap pegawai CKAPS KKM Putrajaya dan Melaka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan telah dijalankan berdasarkan peruntukan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

"Hasil siasatan mendapati pegawai CKAPS Putrajaya gagal memberikan sebarang maklum balas terhadap permohonan pelepasan barang sitaan yang dikemukakan oleh pengadu.

Iklan

"Siasatan turut mengenal pasti kelewatan oleh Pegawai Penyiasat CKAPS Melaka dalam melengkapkan kertas siasatan selaras dengan Prosedur Operasi Piawai Penyiasatan Kes ke atas Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan," katanya pada Jumaat.

Tambahnya, kelewatan ini telah menjejaskan kelancaran proses siasatan dan telah menyebabkan siasatan mengambil masa yang tidak munasabah untuk diselesaikan.

Iklan

Tegas EAIC, pihaknya memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib CKAPS KKM dengan syor agar hukuman tatatertib dikenakan terhadap pegawai terlibat di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] kerana kurang cekap atau kurang berusaha sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(e) peraturan yang sama.