KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan terdapat ancaman luar yang disyaki didalangi agensi perisikan asing.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya sentiasa bersedia dalam usaha menangani pelbagai ancaman luaran yang berpotensi menjejaskan keselamatan negara.
Menurutnya, ini termasuk sebarang agenda yang dibawa oleh agensi perisikan asing yang mungkin cuba mencampuri urusan atau mengganggu-gugat kestabilan serta kedaulatan negara.
"Terdapat insiden yang dilaporkan dan disiasat oleh PDRM disyaki didalangi oleh agensi perisikan asing.
"PDRM mengesan dua kes yang dilaporkan iaitu kes penculikan warga Palestin dan kes memiliki enam pucuk senjata api yang didalangi kumpulan ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pelbagai mekanisme telah diambil oleh PDRM bagi memantau kemasukan warga asing melalui pintu masuk negara.
Jelasnya, dalam usaha ini, PDRM menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Polis Antarabangsa (Interpol).
"PDRM turut memberi perhatian serius terhadap kawalan keselamatan warga asing yang tinggal lama di negara ini termasuk mereka yang bermastautin atau berada atas urusan pekerjaan seperti perunding asing," ujarnya.
Tambahnya, dalam tindakan menjamin keselamatan warga Palestin yang menetap di Malaysia, mereka dinasihatkan mengamalkan gaya hidup berprofil rendah bagi mengelakkan menjadi sasaran terpilih selain melaporkan sebarang perlakuan yang mencurigakan.
Kata Mohd Khalid, pihaknya menjalin kolaborasi strategik dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam aspek keselamatan negara melalui pertukaran maklumat dan pandangan secara berterusan di peringkat nasional serta antarabangsa.
"PDRM kekal komited dalam memastikan keselamatan Malaysia dan kesejahteraan rakyatnya sentiasa terpelihara," katanya.