KUALA LUMPUR – Polis membongkar taktik sindiket penipuan yang menawarkan penstriman kandungan lucah yang berselindung di sebalik sebuah syarikat berdaftar dalam serbuan pada 1 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menahan 57 individu termasuk 26 wanita dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Tun Razak di sini.
“Kesemua mereka dipercayai terlibat dengan aktiviti penipuan ‘like and share’, mempromosi dan menguruskan laman sesawang lucah yang menyasarkan pengguna di India.
“Keuntungan sindiket penipuan itu dianggarkan sebanyak 61,200 Rupee (RM3,000) sehari atau 1,224,000 Rupee (RM60,000) sebulan, berdasarkan 20 hari bekerja,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini pada Rabu.
Rusdi berkata, sindiket itu yang baru beroperasi sejak tiga bulan lalu menggunakan sebuah platform laman sesawang yang menawarkan pengalaman penstriman kandungan lucah.
“Individu yang berminat perlu ‘like and share’ platform tersebut dan seterusnya akan diberikan akses secara percuma untuk tempoh yang terhad.
“Kemudian, bagi mendapatkan akses yang lebih eksklusif, pengguna perlu membuat bayaran tertentu untuk melanggan keahlian,” katanya.
Menurut beliau, keahlian dikenakan bayaran bulanan yang berbeza iaitu 50–100 Rupee (RM2.45–RM4.89) bagi keahlian asas, 200–500 Rupee (RM9.78–RM24.46) bagi keahlian premium, dan 1,000–2,000 Rupee (RM48.92–RM97.84) bagi keahlian VIP.
“Pembayaran tambahan juga dikenakan sekiranya pengguna gagal mematuhi syarat-syarat tertentu seperti kuantiti ‘like and share’ yang tidak mencukupi, menonton lebih daripada 10 video sehari, atau untuk menonton video lebih premium,” katanya.
Tambah beliau, semua bayaran dibuat melalui platform dalam talian yang dikendalikan oleh sindiket tersebut.
“Pengguna juga dijanjikan pulangan dalam bentuk bitcoin dan mata ganjaran bagi video berdurasi panjang sekiranya mereka membuat bayaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, setelah bayaran dibuat, sindiket akan menyekat akaun pengguna.
“Pengguna kemudian diarahkan untuk membuat bayaran tambahan kononnya atas alasan telah melanggar syarat yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, sekatan terhadap akaun masih berterusan malah sindiket tidak lagi dapat dihubungi,” ujarnya.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 58 komputer riba pelbagai jenis, sebuah telefon bimbit dan satu unit perakam suara.
“Kita telah mendakwa enam daripada 57 individu yang ditahan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan pada 4 Julai lalu.
“Baki 51 individu yang lain telah dibebaskan atas arahan Timbalan Pendakwa Raya dan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.