Remaja maut cas telefon dalam bas: Kecuaian pemasangan sistem elektrik jadi punca - JPJ

Iklan
Aedy Fadly (kanan) diberikan penerangan ketika melawat kilang pembuatan badan bas di Telok Gong pada Rabu.

PELABUHAN KLANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewajibkan penyediaan dokumen kerja dalaman pemasangan pendawaian elektrik tambahan melibatkan bas ekspres dan persiaran mulai 1 Januari depan.

Statistik JPJ merekodkan pematuhan ini melibatkan 65,520 bas ekspres dan persiaran secara berperingkat setakat ini.

Iklan
Iklan

Langkah itu diambil susulan insiden melibatkan seorang remaja maut akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit di soket sebuah bas ekspres di Terminal Penang Sentral pada 1 November lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, siasatan mendapati berlaku kecuaian dalam pemasangan sistem elektrik arus ulang alik (AC) dalam bas terbabit yang dilakukan tanpa pengawasan oleh individu kompeten.

Iklan

"JPJ bersama agensi lain seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), SIRIM Berhad dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Suruhanjaya Tenaga telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi siasatan berhubung kejadian terbabit sebelum ini.

"Hasil siasatan mendapati wujud ketidakpatuhan dari aspek teknikal serta keselamatan sistem pendawaian," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar ketika melawat sebuah kilang pembuatan badan bas di Telok Gong di sini pada Rabu.

Katanya, dokumen kerja dalaman dikenali sebagai Internal Work Sheet atau IWS(e) akan dijadikan bukti pematuhan rasmi terhadap pemasangan pendawaian elektrik tambahan dalam kenderaan.

"Pendawaian elektrik tambahan merujuk kepada litar elektrik yang bukan sebahagian daripada sistem asal pengilang dan lazimnya digunakan untuk soket pengecas, alat pemanas air atau sistem hiburan.

"Dokumen IWS(e) merangkumi tiga komponen utama iaitu pemeriksaan terhadap kemasan pemasangan, pemeriksaan keselamatan elektrik termasuk pembumian serta ujian fungsi bagi memastikan semua peralatan berfungsi dengan baik," katanya.

Menurutnya, dokumen ini hanya boleh disediakan dan disahkan oleh juruteknik elektrik berdaftar dengan JPJ yang mempunyai kelayakan minimum PW2 dan diiktiraf Suruhanjaya Tenaga.

"Dokumen tersebut wajib dikemukakan semasa pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) termasuk bas binaan tempatan yang turut memerlukan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (PPP).

"Bagi kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2026, tempoh peralihan selama setahun akan diberikan sebelum penguatkuasaan sepenuhnya bermula 1 Januari 2027," katanya.

Aedy Fadly berkata, jika sistem pendawaian elektrik tambahan masih digunakan, pemilik perlu kemukakan dokumen IWS(e) sebagai bukti pemasangan dilakukan mengikut spesifikasi.

"Sebarang pemasangan atau pengubahsuaian sistem pendawaian tanpa pengawasan juruteknik elektrik berdaftar adalah tidak dibenarkan sama sekali.

"Garis panduan ini juga merupakan satu penambahbaikan teknikal penting dalam sektor automotif negara dan bertujuan menjamin keselamatan semua pihak," katanya.

Tambahnya, pembina badan bas (coachbuilder) digalakkan mula menyediakan dokumen IWS(e) lebih awal agar pelaksanaan dapat dibuat secara berperingkat.

"Semua pemilik kenderaan dan pemain industri diminta agar memberi kerjasama penuh demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.

"Tindakan menggantung permit akan dikenakan terhadap mana-mana pengusaha bas yang mengingkari garis panduan itu," katanya.

November lalu, seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral, Pulau Pinang.

Susulan kejadian itu, MOT menubuhkan pasukan petugas khas (Special Taskforce) dan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk segera menggantung operasi bas yang terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),