SIPITANG – “Saya mahu kes ini disiasat dengan telus, adil dan saksama serta tidak menyembunyikan sesuatu yang tidak betul.
"Sekarang masih dalam siasatan polis, jadi saya tidak boleh memberikan sebarang ulasan lanjut. Saya telah dua kali pergi ke balai polis."
Demikian kata Noraidah Lamat, 45, ibu kepada pelajar perempuan Tingkatan Satu yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, baru-baru ini.
Noraidah berharap tiada sebarang perkara disembunyikan dalam siasatan berhubung insiden yang menimpa anak tunggalnya itu.
Dalam nada penuh sebak, Noraidah turut meluahkan kerinduannya kepada Zara yang menurutnya begitu gemar makan kek batik.
"Dalam sebulan ini, anak saya selalu minta kek batik. Jadi saya sediakan dua atau tiga bekas. Satu untuk dia, satu lagi untuk kawan-kawan sebilik,” katanya.
Menurut Noraidah, pada pagi Ahad lalu sebelum kembali ke asrama, Zara sempat memasak roti telur sendiri untuk dibawa ke sekolah.
"Kalau di rumah, dia memang suka makan kek batik tetapi pada hari Ahad itu, sebelum ke asrama, dia sendiri memasak roti telur. Itulah makanan terakhir yang dia bawa, yang dia masak di rumah. Saya hairan pada waktu itu, mahu balik ke asrama sudah, tetapi masih mahu memasak roti telur dan dia masak untuk kami," katanya hiba.
Noraidah berkata, anaknya turut menunjukkan kelainan apabila memilih untuk kembali ke asrama pada waktu petang, tidak seperti kebiasaannya.
"Selalunya dia balik ke asrama waktu pagi, tetapi hari itu dia kata, ‘Mama, nanti Zara balik lambat, hari Ahad’," ujarnya.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, menziarahi Noraidah di kediamannya di Kampung Kalamauh Mesapol, di sini.
Dalam ziarah tersebut, Noraidah turut menerima sumbangan peribadi daripada Mohd Arifin; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali; Pengarah Yayasan Sabah merangkap ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob; dan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.
Mohd Arifin memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis, termasuk berkaitan dakwaan kejadian buli di sekolah berkenaan.
"Ini dalam siasatan polis. Kita serahkan sepenuhnya dan tunggu hasil siasatan berkenaan," katanya.
Sementara itu, Mohd Arifin memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis, termasuk berkaitan dakwaan kejadian buli di sekolah berkenaan.
"Ini dalam siasatan polis. Kita serahkan nanti, kita tunggu nanti hasil siasatan berkenaan," katanya.