Pesara tertipu, wang KWSP RM166,000 lesap

Iklan
Pesara kilang, penyelia tapak diperdaya online scam alami kerugian hampir RM500,000. - Gambar hiasan

IPOH - Wang simpanan persaraan milik seorang pesara kilang berjumlah RM166,897 lesap sekelip mata selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki berusia 56 tahun itu menjadi mangsa ‘phone scam’ selepas menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Jun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek memaklumkan nombor telefon pengadu kononnya terlibat dengan pinjaman ah long sebelum disambungkan kepada seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.

“Mangsa diarahkan untuk memindahkan wang dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke satu akaun yang berdaftar atas nama syarikat lain bagi tujuan siasatan.

Iklan

“Pada 7 Julai lalu, mangsa telah memindahkan keseluruhan wang berjumlah RM166,897.58 ke akaun tersebut sebelum menyedari dirinya telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Dalam satu lagi kes berasingan, seorang penyelia tapak berusia 61 tahun pula mengalami kerugian RM307,315 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.

Iklan

Abang Zainal Abidin berkata, mangsa telah melakukan 14 transaksi ke enam akaun bank berbeza setelah dijanjikan pulangan pelaburan antara 10 hingga 20 peratus dalam masa singkat.

“Mangsa mula curiga apabila diminta membuat bayaran tambahan kononnya sebagai cukai sebelum keuntungan boleh dikeluarkan.

“Jumlah kerugian daripada kedua-dua kes ini mencecah RM474,212.58,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melakukan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.