Dasar had permit perniagaan peniaga India telah lama dilaksana - Kon Yeow

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang telah melaksanakan dasar menghadkan permit perniagaan kepada peniaga tempatan sahaja sejak lebih lima tahun lalu bagi melindungi peniaga India tempatan yang terjejas setiap kali musim perayaan Deepavali.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu diambil susulan rungutan berterusan daripada peniaga tempatan serta representasi rasmi daripada Penang Indian Chamber of Commerce & Industry (PICCI) berhubung lambakan produk murah dari luar yang dibawa masuk oleh peniaga luar negeri dan warga asing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dasar itu memberi keutamaan kepada peniaga tempatan yang perlu menanggung kos sewa, cukai dan gaji pekerja sepanjang tahun.

“Mereka hanya bergantung kepada musim perayaan seperti Deepavali untuk tingkatkan pendapatan. Namun, apabila peniaga luar masuk dengan produk murah dari luar negara, peniaga kita rugi besar,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, peniaga luar masih dibenarkan menjalankan perniagaan antara bulan Februari hingga Mei memandangkan ia bukan musim kemuncak sambutan perayaan.

“Mereka boleh anjurkan karnival atau jualan dengan kerjasama peniaga tempatan.

Iklan

"Bagaimanapun, menjelang musim perayaan utama, permit hanya diberi kepada peniaga Pulau Pinang sahaja,” katanya.

Beliau turut mengakui terdapat cubaan memohon permit menggunakan nama individu tempatan sedangkan operasi sebenar dijalankan oleh peniaga luar.

“Ini taktik biasa. Nama orang tempatan digunakan, tetapi yang sebenarnya berniaga dan bekalkan barang adalah orang luar. Ini memberi tekanan kepada peniaga tempatan kita,” ujarnya.

Beliau menambah, dasar tersebut, hanya terpakai kepada peniaga yang menganjurkan karnival dan jualan sempena sambutan kaum India kerana aduan yang diterima hanya tertumpu kepada sektor itu.

“Setakat ini tiada aduan daripada peniaga sektor lain seperti penjual durian atau pasar malam.

"Jadi dasar ini hanya melibatkan peniaga India menjelang musim perayaan mereka,” katanya.

Mengulas kenyataan pegawai penguat kuasa yang menyebut permit hanya dibenarkan antara April hingga 30 Jun, Kon Yeow berkata, perkara itu lebih sesuai dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan.

“Apa yang saya tahu, tempoh itu bukan musim kemuncak sambutan, tetapi pihak penguat kuasa lebih arif mengenai garis masa sebenar pelaksanaan permit.

"Dasar tersebut bukan sekatan bersifat monopoli, sebaliknya bertujuan memastikan kelangsungan peniaga tempatan yang telah lama beroperasi di negeri ini," ujarnya.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam kenyataannya berkata, pihaknya tidak pernah menghalang sebarang penganjuran karnival jualan sempena perayaan kebudayaan termasuk perayaan masyarakat India di kawasan itu.

Bagaimanapun, menurut MBSP, garis panduan telah ditetapkan bagi mengawal kemasukan penganjur dan peniaga dari luar Pulau Pinang, terutamanya dalam tempoh tertentu setiap tahun.

"MBSP telah menerima aduan berulang daripada persatuan peniaga tempatan khususnya dalam kalangan komuniti India yang merasakan peluang mereka semakin terhad apabila peniaga luar mendominasi karnival kebudayaan dan keagamaan,” katanya.

Sehubungan itu, MBSP memperkenalkan dasar yang mana peniaga dan penganjur luar hanya dibenarkan terlibat dalam aktiviti perniagaan di negeri ini antara 1 April hingga 30 Jun setiap tahun.

"Langkah itu bagi memastikan wujud keseimbangan antara peluang perniagaan untuk peniaga luar dan perlindungan terhadap sumber pendapatan peniaga tempatan.

"Dasar berkenaan tidak bersifat diskriminasi kaum atau bertujuan menekan mana-mana komuniti.

“Sebaliknya, ia merupakan usaha menjaga kebajikan dan memastikan peniaga tempatan terutamanya peniaga kecil komuniti India di Pulau Pinang terus berdaya saing dalam suasana ekonomi yang mencabar,” katanya.

Sebelum ini, tular klip video pegawai penguat kuasa kerajaan tempatan mendenda peniaga gerai di sebuah karnival perniagaan masyarakat India di Bukit Mertajam.

Dalam video di TikTok itu, ia menunjukkan pegawai penguat kuasa mengeluarkan notis kompaun kepada peniaga yang menjual kain sari dan barangan bertemakan India yang lain.

Video itu bagaimanapun telah dipadam oleh MBSP.