PDC sedia serah dokumen projek Penang World City kepada AMLA Bukit Aman

Iklan
Kon Yeow

GEORGE TOWN- Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menyerahkan semua dokumen kewangan dan minit mesyuarat berkaitan projek Penang World City (PWC) kepada Pasukan Petugas Khas Anti-Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman susulan siasatan terhadap skim pelaburan Mobility Beyond Imagination (MBI) yang sedang berjalan di peringkat nasional.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa siasatan itu merupakan sebahagian daripada usaha pihak berkuasa meneliti aliran kewangan yang mungkin mempunyai kaitan dengan skim berkenaan.

Iklan
Iklan

“Lawatan oleh Pasukan Petugas Khas pada 9 Julai lalu ke Pejabat PDC adalah sebahagian daripada siasatan terhadap skim pelaburan MBI dan bukan secara khusus terhadap PDC atau projek PWC.

"PDC telah memberi kerjasama penuh dengan menyerahkan semua dokumen yang diminta termasuk minit mesyuarat dan rekod kewangan pada 18 Julai 2025,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar di sini pada Isnin.

Iklan

Kon Yeow menambah, siasatan itu tertumpu kepada pembayaran yang dibuat kepada PDC oleh Mutiara Metropolis Sdn Bhd (MMSB) yang dahulunya dikenali sebagai Tropicana Ivory Sdn Bhd (TISB) bagi pembelian tanah yang terlibat dalam pembangunan projek PWC antara tahun 2011 hingga 2019.

"Siastaan tersebut dijalankan mengikut prosedur AMLA dan melibatkan pelbagai entiti dan bidang kuasa di seluruh negara.

Iklan

“PDC terlibat sebagai pihak berkepentingan dalam urus niaga komersial lampau dan telah bertindak mengikut proses yang sewajarnya sepanjang tempoh berkenaan.

"PDC juga komited terhadap prinsip ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik serta akan terus memberi kerjasama kepada semua agensi penguatkuasaan,” ujarnya.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC berkata, dokumen yang diserahkan mengandungi empat perjanjian utama yang ditandatangani berkaitan projek PWC setakat ini.

Menurutnya, empat perjanjian itu adalah Perjanjian Pembelian dan Pembangunan antara Ketua Menteri Pulau Pinang (Pemerbadanan) [CMI], PDC dan Ivory Properties Group Berhad (IPGB) pada 11 November 2011; Perjanjian Tambahan Pertama antara CMI, PDC dan IPGB bertarikh 24 Oktober 2013; Perjanjian Tambahan Kedua bertarikh 23 Jun 2014 dan Perjanjian Novasi merangkap Tambahan antara PDC, CMI, IPGB dan TISB bertarikh 1 November 2019.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berkata, kerja-kerja penambakan tanah bagi projek PWC kini telah mencapai kira-kira 68 peratus siap.

"Sementara itu, keseluruhan kemajuan pembangunan termasuk fasa semasa dan fasa masa depan telah mencecah 44 peratus.

"Projek mega itu dilihat sebagai pemacu pertumbuhan pembangunan bercampur di bahagian pulau negeri ini dan melibatkan kerjasama pelbagai pihak sejak lebih sedekad lalu," katanya.

Pada Mac lalu, Kon Yeow menegaskan bahawa PDC tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan skim MBI.

PDC dikatakan menjalankan penjualan tanah mengikut prosedur yang ditetapkan dan bukan terlibat dalam transaksi MBI.

Beliau turut menjelaskan bahawa penjualan tanah Bayan Mutiara kepada Ivory Properties Group dilakukan melalui proses tender standard pada 2011.