PASIR MAS - Seorang wanita warga emas kerugian barang kemas bernilai RM11,030 selepas terpedaya dengan helah panggilan video WhatsApp daripada individu menyamar sebagai pegawai polis pada 10 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, mangsa berusia 68 tahun menerima panggilan tersebut daripada suspek yang mendakwa kononnya warga emas itu terlibat dalam jenayah.
"Bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang mangsa menyerahkan semua barang kemas miliknya di sebuah stesen minyak di Pasir Mas sebagaimana diarahkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, bertindak hasil maklumat dan kerjasama antara Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, seorang lelaki tempatan berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.
Ujarnya, siasatan mendapati suspek telah menjual barang kemas yang diperoleh hasil penipuan dan mengambil sebahagian wang jualan tersebut sebagai upah.
Kama Azural memberitahu, polis turut merampas beberapa barangan berkaitan untuk dijadikan bahan bukti.
Jelas beliau, suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas pada Isnin mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan serta denda sebanyak RM9,000,” katanya.
Kama Azural turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta membuat semakan dengan pihak polis jika menerima sebarang panggilan mencurigakan, terutama membabitkan dakwaan jenayah atau tuntutan pembayaran.