KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah unit kediaman di tingkat 10, Flat Hang Tuah di sini pada Isnin.
Komander Operasi Kanan, Penguasa Kanan Bomba Mohamad Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 2.54 pagi.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit Water Tanker (WT) dan tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) membabitkan kekuatan 14 anggota.
"Sebaik tiba di lokasi pada jam 2.58 pagi, anggota bomba bertugas mendapati kebakaran melibatkan sebuah unit rumah di tingkat 10 dengan keluasan 20 x 20 kaki persegi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, kebakaran menyebabkan kemusnahan seratus peratus melibatkan unit rumah berkenaan.
"Operasi pemadaman dijalankan pihak bomba sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.10 pagi.
"Semasa melakukan operasi pemadaman, seorang lelaki ditemukan maut dalam bilik air dalam unit rumah berkenaan," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.35 pagi.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan setakat ini," katanya.