SEGAMAT, 20 Julai 2025 – Keterujaan seorang remaja lelaki mandi dan memancing bersama dua rakannya di Sungai Segamat di sini bertukar tragedi apabila dia ditemukan lemas, pada petang Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4 petang daripada orang awam.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bersama sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Segamat, telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kali ini turut melibatkan 10 anggota bomba, 20 anggota polis serta dibantu beberapa penduduk kampung.
"Mayat mangsa berjaya ditemukan pasukan penyelamat pada jam 6.18 petang sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Segamat untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan awal mendapati, mangsa, Muhammad Azfar Ammer Abdullah, 14, bersama dua orang rakannya itu telah ke lokasi berkenaan sekitar jam 3.30 petang untuk memancing dan mandi sungai.
Bagaimanapun, pada jam 4 petang, salah seorang rakan mangsa menyedari mangsa telah tenggelam dan segera menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan.
Dalam pada itu, Ahmad Zamry turut menasihatkan orang awam terutamanya ibu bapa serta penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak selain mengelakkan sebarang aktiviti di kawasan berisiko tinggi tanpa pengawasan keselamatan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diharap dapat berhubung dengan pusat kawalan daerah Segamat di talian hotline 07-9324222 bagi membantu siasatan.
Sementara itu Komander Operasi dari BBP Segamat, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hazim Abd Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.08 petang.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), dua pikap jenis Toyota Hilux, satu bot dan 11 anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi sejauh tiga kilometer.
"Pencarian dibuat di sepanjang sungai menggunakan bot hingga menemui mangsa di tebing sungai sejauh lima meter dari kawasan dia dilaporkan hilang.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.40 petang," katanya.