PULUHAN ribu penyokong dan peminat bola sepak Kelantan membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV semasa aksi persahabatan melibatkan bekas-bekas pemain The Red Warriors (TRW) sebelum ini membuktikan aura sukan itu masih belum padam.
Kemuncak kerinduan itu dizahirkan pada pertemuan Ex-Trebel TRW melawan Ex-Double Trebel Kedah yang menyaksikan lebih 20,000 penyokong membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV dengan memakai baju merah sekali gus mengubah kawasan itu menjadi 'lautan merah'.
Gelanggang keramat yang pernah menghadirkan gerun kepada pihak lawan yang sebelum ini sunyi sepi kembali gempita dengan sorokan bergemuruh penyokong bola sepak Kelantan.
Kehadiran berduyun-duyun pemain ke-12 itu merupakan manifestasi kecintaan mereka kepada sukan bola sepak Kelantan walaupun TRW yang merupakan tunjang utama penyatuan warga serambi Makkah itu sudah terkubur.
Mana tidaknya, arena bola sepak Kelantan pernah berada di puncak kegemilangan bermula 2010 hingga 2016 apabila mendakap semua kejuaraan berprestij Malaysia termasuk menamatkan penantian selama 89 tahun menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada tahun 2010.
Bibit-bibit zaman gelap bermula apabila TRW Kelantan FC menjadi lubuk jaringan kepada lawan sehingga mencipta sejarah bolos tertinggi dalam saingan Liga Malaysia iaitu 102 gol.
Kemuncak zaman gelap TRW Kelantan yang mengumumkan penarikan diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro (MBSB Bank Championship) untuk musim 2024/25. Penarikan diri itu menyebabkan 'hiburan' rakyat Kelantan berkubur.
Hasrat Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) yang dijenamakan sebagai Kelab Bola Kelantan Darul Naim (KDN FC) untuk mengisi kelompangan yang ditinggalkan TRW gagal apabila prestasi pasukan itu merudum dengan teruk selepas berdepan dengan masalah kewangan.
Untuk musim 2025/2026, KDN FC yang kekal beraksi di Liga Super sekali lagi mengalami proses transformasi apabila dijenamakan semula dengan Kelantan The Real Warriors (Kelantan-TRW).
Menariknya, penjenamaan Kelantan-TRW itu mendapat sokongan penuh bapa pembangunan bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa yang dilihat bersungguh-sungguh memulihkan semula sukan yang menjadi 'hiburan' utama penduduk Kelantan dengan membawa masuk pemain-pemain berstatus bintang.
Bahang bola sepak Kelantan makin 'panas' apabila dua pasukan yang menggunakan mana Kelantan bersaing di kancah Liga Semi-Pro.
Dua pasukan itu ialah Kelantan Red Warrior (KRW) dan Kelantan WTS yang berpengkalan di Tendong, Pasir Mas.
Melihat kepada suasana itu pastinya, penyokong Kelantan mengharapkan kehadiran tiga pasukan tersebut akan membawa sinar baharu kepada arena bola sepak di Kelantan.
Justeru pemegang taruh dalam semua pasukan yang membawa nama Kelantan dalam saingan musim ini perlu bertanggungjawab penuh bagi memastikan hiburan utama warga negeri tidak lagi terpalit dengan kontroversi.
Janganlah disebabkan oleh kontroversi itu, hiburan rakyat Kelantan sekali lagi akan 'dibunuh'.
Berkongsi pandangan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darulnaim (Kelate.Net) Mohd Nurul Mohd Yusoh mahu kesemua pasukan yang menggunakan nama Kelantan perlu berhati waja dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M).
Beliau berharap Kelantan-TRW yang beraksi di Liga Super dan Kelantan Red Warriors (KRW) serta Kelantan WTS di saingan Liga A1 Semi Pro tidak membuat persiapan secara cacamarba.
Bola sepak adalah jiwa rakyat Kelantan dan hiburan yang menjadi seluruh penyatuan tanpa mengira fahaman politik. Kalau kembalikan semula maruah bola sepak Kelantan buatlah bersungguh-sungguh.
Janganlah hangat-hangat tahi ayam. Pastikan gaji tidak tertangguh, insya-ALLAH kejayaan pasti akan hadir. Mudah sahaja nak pihak penyokong Kelantan, pasukan perlu banyak menang berbanding kalah.
Semua itu telah terbukti pada zaman kegemilangan bola sepak Kelantan sekitar 2009 hingga 2014.
Anda boleh lihat bagaimana suasana ketika itu, setiap perlawanan baik di gelanggang sendiri atau arena lawan ribuan penyokong akan membanjiri stadium.
*Hazelen Liana Kamarudin adalah Ketua Biro Sinar Harian Kelantan