KOTA KINABALU - Kemunculan bunga Rafflesia yang mekar di Sub Stesen Mata Air Panas Poring, Taman Kinabalu, Ranau baru-baru ini bukan sahaja menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa, malah mengingatkan kita tentang kepentingan memelihara salah satu spesies paling ikonik di hutan tropika Sabah.
Pensyarah Kanan Fakulti Tropika Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ts Dr Elia Godoong berkata, kewujudan bunga ikonik yang sinonim dengan negeri ini sebenarnya memainkan peranan penting dalam ekologi hutan tropika.
"Rafflesia merupakan tumbuhan holoparasit yang hidup sepenuhnya pada pokok perumah Tetrastigma. Walaupun ia tidak menjalankan fotosintesis, Rafflesia memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem hutan, antaranya mengawal populasi perumah, lantas mengelakkan dominasi Tetrastigma di lantai hutan, selain turut menjadi sebahagian daripada jaringan pendebungaan iaitu bunga yang besar dan berbau busuk menarik lalat bangkai sebagai agen pendebungaan.
"Rafflesia juga berperanan dalam menyumbang kepada biodiversiti secara langsung iaitu sebagai spesies langka, ia memperkayakan nilai ekologi kawasan dan turut bertindak sebagai indikator kesihatan hutan tropika, kerana hanya tumbuh di habitat asli dan tidak terganggu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Rafflesia keithii yang dilaporkan mekar dan menjadi tumpuan orang ramai yang berkunjung ke Poring, semata-mata untuk melihat keindahan spesies 'gergasi' itu yang hanya bertahan selama tujuh hari sebelum layu.
Mengulas lanjut, Dr Elia berkata, Rafflesia bukan sahaja singkat tempoh kelangsungan hidupnya, malah turut berdepan pelbagai ancaman memandangkan ia merupakan antara tumbuhan paling sukar untuk hidup kerana keperluan habitatnya yang sangat spesifik.
"Kemusnahan habitat akibat pembalakan dan pembangunan menyebabkan kehilangan perumah dan kawasan semula jadi. Begitu juga dari segi gangguan kepada perumah (Tetrastigma) akan terus memusnahkan tumbuhan itu sendiri.
"Kitaran hidup Rafflesia yang tidak difahami sepenuhnya menyukarkan pembiakan atau penyelidikan kendalian manusia manakala dari segi ekopelancongan yang tidak terkawal, seperti pemijakan kawasan tunas atau gangguan fizikal, boleh menyebabkan bunga gagal berkembang," katanya.
Jelasnya, pemeliharaan Rafflesia sebagai spesies endemik adalah penting memandangkan Sabah merupakan antara lokasi utama di dunia yang menempatkan tiga spesies bunga tersebut.
Katanya, Rafflesia bukan sahaja penting secara saintifik dan sebagai warisan biodiversiti endemik Sabah, malah ia boleh dijadikan subjek pendidikan dan penyelidikan antarabangsa serta menjadi simbol pemuliharaan tropika.
"Saiznya yang besar dan eksotik, sebagai daya tarikan menjadikan ia sebagai salah satu ikon utama ekopelancongan di Sabah namun ia perlu dikawal.
"Lokasi seperti Stesen Mata Air Panas Poring dan Imbak Canyon sering menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa yang ingin melihat sendiri keunikan spesies ini yang hanya mekar untuk tempoh yang sangat singkat, biasanya sekitar lima hingga tujuh hari sahaja.
"Namun, peningkatan jumlah pelawat tanpa kawalan rapi boleh membawa beberapa risiko yang boleh menjejaskan kelangsungan spesies ini dan habitatnya. Kesan negatif pelancongan tidak terkawal termasuklah gangguan fizikal terhadap bunga, kerana pelawat mungkin secara tidak sengaja menyentuh, memijak, atau memetik bunga yang sedang mekar.
"Ini sekali gus menyebabkan kerosakan habitat mikro iaitu tunas Rafflesia yang masih kecil boleh mati jika tanah sekelilingnya dipijak atau diganggu. Begitu juga dari segi pencemaran kemungkinan, wujud sisa makanan, plastik, atau kehadiran terlalu ramai manusia boleh mengubah mikroekosistem tempat Rafflesia tumbuh," katanya.
Sehubungan itu, Dr Elia mencadangkan agar pihak pengurusan kawasan perlindungan bersama komuniti tempatan melaksanakan langkah kawalan khusus di kawasan pertumbuhan Rafflesia.
"Langkah yang boleh diambil, termasuklah penubuhan zon penampan yang melindungi kawasan sekitar tumbuhan induk dan tunas, pembinaan laluan khas supaya pengunjung tidak merosakkan tanah di sekitarnya.
"Panduan pelawat dan latihan kepada pemandu pelancong tempatan mengenai kepentingan pemuliharaan spesies ini harus dilakukan dan bilangan pelawat harian dihadkan serta pelaksanaan sistem lawatan berpandu sahaja," katanya.
Jelasnya lagi, langkah kawalan ini amat penting bagi memastikan Rafflesia terus menjadi sumber ilmu, warisan semula jadi dan daya tarikan pelancongan yang mampan untuk generasi akan datang.
Untuk rekod, terdapat tiga spesies Rafflesia yang direkodkan di Sabah iaitu Rafflesia keithii yang tumbuh di sekitar Poring, Rafflesia pricei di kawasan Trusmadi, Tambunan dan Rafflesia tengku-adlinii yang boleh ditemui di Maliau Basin.