JOHOR BAHRU - Seorang pemandu e-panggilan dan penumpang warga Singapura maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam menghala Skudai, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian berlaku pada 11.27 pagi apabila kereta Perodua Bezza dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun itu hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebelah kiri lori Mitsubishi Fuso.
Iklan
Iklan
"Pemandu disahkan maut di lokasi akibat cedera parah di kepala manakala penumpang lelaki berusia 27 tahun meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata pemandu lori warga tempatan berusia 28 tahun tidak cedera.
Kemalangan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Zulhisyam Aziz menerusi 019-7432966. - Bernama